MusicTrending

Fazura Abadikan Momen Rakam Lagu Raya Dengan Fatima

Kemeriahan lagu Raya Pum Pang kembali menghangatkan suasana Syawal tahun ini menerusi versi terbaharu berjudul Raya Pum Pang Lagi daripada pelakon, penyanyi dan usahawan, Nur Fazura.

Jika sebelum ini lagu berkenaan cukup menceriakan sambutan Aidilfitri, kali ini ia tampil dengan sentuhan yang lebih peribadi dan menyentuh hati apabila Fazura mengundang anak tercinta, Fatima, untuk turut serta dalam rakaman.

Kolaborasi ibu dan anak ini bukan sekadar menghidupkan semula lagu popular tersebut, malah menambah lapisan emosi yang menjadikan versi baharu ini lebih manis dan bermakna.

Menurut Fazura, idea menghasilkan Raya Pum Pang Lagi tercetus secara spontan di rumah. Ketika lagu asal dimainkan tahun lalu, Fatima sering menyanyi bersama dan menghafal lirik dengan penuh semangat, malah mencipta gaya tersendiri.

“Sejujurnya, idea ini datang secara natural. Tahun lepas bila lagu itu keluar, Fatima memang selalu ikut menyanyi di rumah. Dia hafal lirik dan siap buat gaya sendiri.

“Dari situ saya terfikir, kenapa tak abadikan memori kecil itu jadi sesuatu yang lebih bermakna? Versi ini bukan sekadar baharu, tapi ada kenangan kami berdua,” kongsinya.

Keistimewaan Raya Pum Pang Lagi terletak pada kisah di sebalik pembikinannya. Ia bukan hanya tentang kemeriahan sambutan Raya, tetapi merakam detik kasih sayang yang tercipta secara sederhana dalam kehidupan seharian.

Momen paling mengharukan pastinya ketika sesi rakaman di studio. Buat pertama kali, Fatima berdiri di hadapan mikrofon sebagai sebahagian daripada karya rasmi, bukan sekadar bermain-main seperti kebiasaan di rumah.

“Masa rakaman memang sangat comel. Fatima nyanyi dengan yakin dan bangga, macam dia tahu dia sebahagian daripada lagu ini.

“Sebagai ibu, melihat dia berdiri di depan mikrofon dengan semangat begitu buat saya sangat tersentuh. Itu bukan sekadar rakaman lagu, tapi kenangan indah yang saya akan simpan sampai bila-bila,” ujar Fazura lagi.

Melalui lagu ini, Fazura berharap ia dapat menjadi runut bunyi kepada memori indah di setiap rumah sepanjang Aidilfitri.

Baginya, makna sebenar Raya bukan terletak pada pakaian baharu atau gambar yang sempurna, sebaliknya pada insan-insan yang bersama kita meraikan detik tersebut.

“Saya harap bila orang dengar lagu ini, mereka teringat suasana rumah, gelak tawa anak-anak dan momen kecil yang mungkin selalu kita terlepas pandang. Raya bukan tentang kesempurnaan luaran, tapi tentang siapa yang ada di sisi kita ketika itu.” jelasnya.

Raya Pum Pang Lagi boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 20 Februari 2026.

Related Articles

Back to top button