
Penyanyi, Aisha Retno, 24, mengakui sepanjang enam tahun bergelar anak seni, dia pernah berdepan pelbagai kecaman termasuk ugutan bunuh serta ejekan melibatkan fizikal dan rupa parasnya.
Menurut Aisha, meskipun sering dilihat tenang dan tidak melatah dengan komen negatif, hakikatnya dia juga manusia biasa yang ada batas ketahanan diri.
“Enam tahun dalam industri, saya cuba untuk jadi manusia yang ‘kebal’, tapi kadang-kadang saya juga terkesan dengan komen-komen negatif.
“Pada akhirnya, apa yang orang kata itu benar-benar buat saya rasa tawar hati, sampai saya jadi terlebih fikir tentang apa orang mungkin akan fikir kalau saya muncul di setiap majlis anugerah untuk buat persembahan seperti ini,” katanya menerusi satu hantaran.
Dalam perkongsian sama, Aisha turut memuat naik beberapa komen yang diterimanya daripada warganet sebagai gambaran realiti sebenar yang perlu ditempuh sepanjang berada dalam industri hiburan.
Bagaimanapun, penyanyi itu memilih untuk melihat setiap maklum balas, sama ada baik atau buruk, sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan asam garam dunia seni.
“Selama enam tahun dalam industri, pelbagai komen saya terima setiap kali buat persembahan di atas pentas. Buruk atau baik, saya baca dan hadam.
“Industri muzik banyak membentuk saya supaya tidak terlalu terkesan dengan kecaman mahupun pujian. Saya jadikan semua itu sebagai motivasi untuk buat yang lebih baik pada masa akan datang.
“Malah, saya tidak pernah menyesal dengan usaha yang dilakukan walaupun sebagai manusia kita tak lari daripada kekurangan,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Aisha turut menegaskan bahawa kecaman melampau di media sosial boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan mental seseorang, terutama mereka yang tidak mempunyai sokongan emosi yang kuat.
“Kata-kata boleh melukakan dan sangat mematahkan semangat. Kalau mental seseorang tidak cukup kuat, dia mungkin berhenti melakukan apa yang paling dia cintai.
“Mungkin orang anggap saya sensitif, tapi ini demi menjaga bakat-bakat dalam industri kita,” jelasnya lagi.



