BisnesTrending

Kesan Hangus Seterika Kini Jadi Fesyen Mewah? Kemeja Vetements Dijual Lebih RM5,000 Sehelai

Lain kali jika anda tanpa sengaja menghanguskan baju dengan seterika, mungkin anda perlu berfikir dua kali sebelum membuangnya.

Hal ini kerana, kesan hangus seterika kini dianggap sebagai fesyen haute couture.

Jenama mewah Switzerland, Vetements, baru-baru ini memperkenalkan kemeja grafik dengan rekaan kesan hangus seterika.

Harganya pula mungkin membuatkan anda turut terasa ‘hangus’. Dijual dengan harga AS$1,139 (RM) sehelai.

Jika anda tertanya-tanya sama ada terdapat elemen istimewa selain meniru kesilapan ketika menggosok pakaian, anda boleh nilailah sendiri.

Rekaan tersebut merupakan kemeja kapas putih berkolar tajam dengan cetakan kesan hangus seterika pada bahagian poket dada. Menurut maklumat produk, ia diperbuat daripada 100 peratus kapas dan dihasilkan di Portugal.

Kemeja itu kini telah habis dijual di peruncit fesyen mewah Los Angeles, H.Lorenzo. Namun, ia masih boleh didapati di laman e-dagang Britain, Farfetch.

Tidak mengejutkan, rekaan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi lucu dalam talian, dengan ramai bergurau bahawa mereka sebenarnya telah membuang fesyen mewah selama ini tanpa sedar.

“Bukti ada orang boleh jadikan kesilapan sebagai peluang,” tulis seorang pengguna Facebook.

“Akhirnya kesilapan gosok baju saya jadi barang mewah,” gurau seorang pengguna Threads.

Vetements diasaskan oleh dua beradik, Demna Gvasalia dan Guram Gvasalia pada tahun 2014.

Setahun kemudian, Demna dilantik sebagai pengarah kreatif baharu bagi Balenciaga, jawatan yang dipegangnya sehingga 2025.

Balenciaga sendiri terkenal dengan rekaan fesyen yang sering mencetuskan perdebatan, termasuk gelang menyerupai pita pelekat dan skirt yang kelihatan seperti tuala.

Related Articles

Back to top button