BeritaGaya Hidup

Qi Razali Dah Jadi Babah

Pelakon, Qi Razali, 49, kini melangkah ke fasa baharu dalam hidup apabila mengumumkan dirinya telah bergelar bapa selepas isterinya, Wardah Hayati selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka.

Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh pemilik nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali menerusi Instagram Story miliknya pada Rabu dengan kapsyen ringkas.

“Assalamualaikum Princess (Puteri) babah,” tulisnya.

Dalam perkongsian tersebut, Qi kelihatan sedang memangku bayi perempuan mereka yang dipercayai dirakam sejurus selepas kelahiran, sekali gus mencuri perhatian peminat.

Sementara itu, Wardah menerusi hantaran di Instagram turut memaklumkan bayi perempuan mereka yang diberi nama Anggun Sumayah itu dilahirkan dengan selamat pada 23 Januari lalu.

Menjengah ke ruangan komen, pasangan itu menerima limpahan ucapan tahniah dan doa daripada rakan-rakan selebriti serta peminat yang turut tumpang gembira atas kelahiran ahli baharu dalam keluarga mereka.

Untuk rekod, Qi dan Wardah, 30, disatukan sebagai suami isteri dalam sebuah majlis pernikahan tertutup yang berlangsung di Gopeng, Perak pada 25 Mei tahun lalu.

Related Articles

Back to top button