
Seorang guru tadika berkongsi pengalaman membimbangkan melibatkan seorang murid perempuan berusia enam tahun yang tingkah lakunya mengejutkan dan menimbulkan kebimbangan.
Kisah itu mula tular selepas seorang pendidik lain bertanya secara dalam talian sama ada terdapat guru yang pernah berdepan dengan pelajar bermasalah.
Menurut guru tersebut, kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu tiba di sekolah bersama ibunya.
“Saya ambil dia dari kereta, dia menendang dan kata tak mahu, memang jelas dia tak mahu masuk. Kemudian ibunya cuba pujuk,” katanya.
Apabila si ibu cuba menariknya keluar dari kereta, kanak-kanak itu didakwa menampar ibunya.
“Saya tegur supaya jangan buat macam itu, tapi dia kata jangan sibuk dan jangan ajar dia apa nak buat,” ujar guru berkenaan.

Dia menambah, ibu kanak-kanak itu berulang kali memohon maaf atas tingkah laku anaknya. Namun, sikap tersebut tidak terhenti di situ apabila murid itu memasuki kelas.
“Bila masuk sahaja, dia pandang kami dengan tajam. Bila disuruh buat kerja sekolah, dia campak buku ke lantai. Dia juga kata, ‘Jangan suruh saya buat,’” kongsinya lagi.
Guru tersebut mengakui terkejut dengan sikap melawan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak seusia itu.
Lebih merisaukan, guru berkenaan mendakwa dia kemudian dimaklumkan bahawa murid tersebut sebelum ini pernah menendang ibunya sehingga menyebabkan lebam pada bahagian mata.
“Ibunya hantar dia ke sekolah dengan mata lebam dan berbisik kepada kami anaknya yang pukul. Abang dia yang berada di tingkatan dua pun pernah dipukul,” katanya.
Perkongsian guru itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai mengenai isu disiplin dalam kalangan kanak-kanak kecil, dengan sesetengah pihak tertanya-tanya sama ada terdapat faktor lain yang menyumbang kepada tingkah laku sedemikian.
Sumber: Threads, mStar



