
Penduduk Kuala Lumpur yang merancang untuk memeriahkan suasana dengan mercun dan bunga api sempena musim perayaan diingatkan supaya tidak membuat bising selepas tengah malam.
Polis memberi amaran bermain mercun atau bunga api selepas pukul 12 tengah malam, terutama jika mengganggu orang lain, boleh dikenakan tindakan serta-merta.
Menurut laporan Buletin TV3, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, orang ramai perlu mengelakkan daripada menyalakan mercun lewat malam kerana ia boleh mengganggu ketenteraman awam.
Beliau menegaskan, peringatan tersebut bukan hanya terpakai sempena Tahun Baharu Cina, tetapi melibatkan semua perayaan sepanjang tahun.
“Tiada layanan istimewa kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan tindakan serta-merta akan diambil. Ini melibatkan isu ketenteraman awam yang kini menjadi keutamaan,” katanya.
Fadil berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Menurut polis, hanya dua jenis bunga api dibenarkan dijual dan dimainkan sempena Tahun Baharu Cina, iaitu Pop-Pop dan Happy Boom.
.
Fadil menjelaskan, kebenaran diberikan kepada dua jenis tersebut kerana ia tidak mengandungi bahan letupan yang boleh membahayakan keselamatan awam.
Bagaimanapun, penjualannya masih tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah berkaitan berdasarkan garis panduan tertentu.
Beliau menambah, penjualan mercun dan bunga api di Kuala Lumpur perlu melalui proses permohonan permit yang sah.
Setakat ini, polis telah menerima beberapa aduan mengenai penjualan mercun dan bunga api tanpa permit di sekitar ibu negara.
“Kami akan memastikan sebarang penjualan tanpa permit dan lesen akan diambil tindakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
“Ini adalah tanggungjawab penguatkuasaan semua agensi yang diketuai oleh polis. Sesiapa yang melanggar peraturan, tanpa mengira kaum atau agama, tindakan akan diambil,” katanya.
Mereka yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api selain daripada jenis yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Menjelang musim perayaan, polis menggesa orang ramai supaya meraikan sambutan secara bertanggungjawab dan peka terhadap ketenteraman orang lain, khususnya berkaitan penggunaan mercun lewat malam.



