BeritaMusic

Legasi Tak Pernah Padam, Aura Sudirman Menyatukan Generasi

Walaupun sudah lebih tiga dekad pulang ke negari abadi, nama penghibur terkenal, Sudirman Arshad masih kekal segar sebagai khazanah seni negara apabila karya serta keperibadiannya terus dikenang merentas generasi dan kaum.

Penulis lirik tersohor, Habsah Hassan berpandangan legasi Allahyarham wajar terus dipelihara agar tidak tenggelam ditelan masa, termasuk menerusi penganjuran majlis bacaan Yasin dan tahlil yang diadakan setiap tahun pada tarikh pemergiannya, 22 Februari.

Menurut Habsah, majlis tersebut digerakkan oleh sekumpulan peminat setia atas inisiatif sendiri, tanpa kelab rasmi, namun komitmen mereka untuk mengenang Sudirman tidak pernah luntur sejak bertahun-tahun lalu.

Apa yang lebih menyentuh hati, katanya adalah kehadiran peminat muda yang tidak sezaman dengan Allahyarham, namun tetap menunjukkan penghargaan tinggi terhadap seorang seniman legenda.

Habsah percaya keistimewaan Sudirman terletak pada keperibadiannya yang serba boleh, merendah diri serta memiliki aura tersendiri yang sukar ditandingi, sekali gus menjadikan beliau antara artis paling diraikan walaupun selepas pemergian.

Satu majlis dianjurkan pada 14 Februari lalu bagi mengenang pemergian Allahyarham Sudirman.

Dalam majlis sama, bekas wartawan hiburan Berita Harian, Saodah Ismail turut berkongsi kenangan ketika membuat liputan persiapan konsert percuma ikonik Sudirman di Chow Kit pada 1986, yang akhirnya mencatat kehadiran luar biasa dan menjadi sejarah penting industri muzik tanah air.

Menurut Saodah, di sebalik populariti besar, Sudirman tetap seorang yang teliti, resah dan serius setiap kali menjelang persembahan besar, membuktikan sikap profesional serta kesungguhan luar biasa terhadap kerjayanya.

Allahyarham juga dikenali sebagai insan jujur, sederhana dan tidak pernah memburukkan rakan artis, menyebabkan ramai selesa mendekati dan bekerjasama dengannya.

Untuk rekod, Sudirman meninggal dunia pada 22 Februari 1992 pada usia 37 tahun akibat radang paru-paru. Sepanjang kerjayanya, beliau merakamkan 15 album studio, 52 album kompilasi dan mencipta sejarah sebagai artis Malaysia pertama beraksi di Royal Albert Hall, London pada 1989.

Antara lagu malar segarnya yang terus hidup hingga kini termasuk Merisik Khabar, Nilai Cintamu, Pelangi Petang dan Salam Terakhir dan banyak lagi.

Related Articles

Back to top button