
Bintang pop sensasi dunia, Britney Spears, dilaporkan menjual keseluruhan hak kepemilikan katalog muziknya kepada syarikat penerbitan terkemuka, Primary Wave, dalam satu urus niaga yang disifatkan sebagai antara paling besar tahun ini.
Perjanjian yang dimeterai pada 30 Disember lalu itu membabitkan himpunan lagu hit yang melonjakkan nama Spears sejak akhir 1990-an, termasuk Baby One More Time, Oops!… I Did It Again, Gimme More, Circus dan I’m Not A Girl, Not Yet A Woman.
Portal hiburan TMZ melaporkan nilai transaksi tersebut dianggarkan mencecah AS$200 juta, sekali gus menyifatkannya sebagai satu ‘perjanjian bersejarah’ dalam industri muzik global.
Primary Wave bukan nama asing dalam dunia hak muzik. Syarikat itu sebelum ini turut memperoleh katalog legenda seperti Prince, Whitney Houston, Bob Marley dan Stevie Nicks. Dengan pembelian terbaharu ini, mereka kini memiliki kepentingan signifikan dalam khazanah muzik Spears yang terus relevan merentasi generasi.
Walaupun butiran penuh perjanjian belum diumumkan, sumber industri memaklumkan transaksi berkenaan melibatkan pegangan Spears dalam hak rakaman serta hak penerbitan tertentu.
Sony Music bagaimanapun dilaporkan masih mengekalkan kawalan terhadap katalog rakaman asal penyanyi itu.
Langkah strategik ini hadir selepas beberapa tahun penuh episod dramatik dalam kehidupan Spears. Pada 2021, beliau akhirnya bebas daripada perintah penjagaan (conservatorship) yang mengikatnya selama 13 tahun.
Dua tahun kemudian, memoirnya, The Woman in Me, mencetus fenomena dan tersenarai sebagai buku terlaris antarabangsa.
Pemerhati industri melihat penjualan katalog ini sebagai langkah bijak untuk memperkukuh kedudukan kewangan Spears selain mengurangkan beban pengurusan aset muzik yang kompleks.
Dalam masa sama, ia mengukuhkan lagi kedudukan Primary Wave sebagai antara pemain utama dalam perlumbaan menguasai hak muzik artis-artis legenda dunia.
Foto AFP



