‘Saya & Tom Masih Suami Isteri Yang Sah’

Rumah tangga penyanyi Fuad Rahman dan isterinya, Tom menjadi perhatian apabila satu hantaran dimuat naik Tom di Facebook baru-baru ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.
Bagaimanapun, Fuad atau nama sebenarnya Mohd Fuad Rahman, 47, tampil menjelaskan bahawa hubungan mereka masih dalam keadaan baik dan tidak seperti yang dispekulasikan.
Menurut Fuad, dia dan Tom atau Raja Farah Afzal Raja Ikram, 40, masih lagi bergelar suami isteri yang sah sejak mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2023.
“Saya dan Tom masih suami isteri yang sah. Namun, saya tak nafikan sangat terkejut dengan hantaran dimuatnaik oleh Tom di Facebook baru-baru ini sehingga ramai yang beranggapan rumah tangga kami bermasalah dan sudah berpisah.
“Alhamdulillah, hubungan rumah tangga yang kami bina berada dalam keadaan baik. Cuma, sekarang saya bersama anak kami, Putri Anggun Lovellia atau Anggun tinggal berjauhan dengan Tom seketika.
“Saya dan Anggun menetap di Melaka kerana saya juga akan ke Singapura atas urusan kerja serta persembahan nyanyian, manakala Tom pula bersama dua anak lagi kini tinggal di Pahang serta dia (Tom) juga ada tawaran menyanyi di sana.
“Hari-hari saya dan Tom akan berhubung tanya khabar di telefon dan hubungan kami suami isteri dalam keadaan baik sahaja. Tom minat meluncur laut, jadi ketika ini saya benarkan dia ‘me time’ sambil bekerja di Pahang,” katanya.
Tambah Fuad, jarak yang memisahkan mereka ketika ini bukan disebabkan konflik, sebaliknya atas tuntutan kerjaya masing-masing.
Malah, sebagai suami, dia menghormati minat isterinya terhadap aktiviti meluncur dan memberi ruang untuk Tom menikmati masa sendiri.
“Saya pun baru sebulan menjaga Anggun kerana Tom berada di Pahang dan bekerja. Sebagai suami isteri, kami saling memahami serta membantu dalam penjagaan anak kerana saya tahu minat Tom terhadap aktiviti meluncur.
“Insya-Allah selepas monsun laut habis tidak lama lagi, kami akan berjumpa semula dan tinggal bersama serta menjalani puasa Ramadan. Selain itu, saya dan Tom pun tidak lama lagi akan muncul dengan lagu duet baharu.
“Saya harap dengan penjelasan saya ini, tiada lagi spekulasi yang bukan-bukan timbul mengenai persepsi hubungan rumah tangga kami. Sekali lagi, ditegaskan saya dan Tom masih suami isteri yang sah,” ujarnya lagi seperi dilapor Harian Metro.
Terdahulu, Tom memuat naik satu status berbaur emosi sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengikutnya.
“Hidup i kat dunia ni selalu bawak sial kat orang. Kenapa lah aku dijadikan sebagai aku. Aku penat jadi aku,” tulisnya.
Hantaran tersebut membuatkan ramai tertanya-tanya mengenai keadaan sebenar dirinya apabila dia turut mengakui sedang ‘down’, namun tidak mendedahkan punca sebenar.



