
Pelakon dan artis seni mempertahankan diri terkenal Thailand, Tony Jaa, dilaporkan sedang berjuang melawan kanser pundi hempedu.
Pelakon berusia 50 tahun itu, yang juga dikenali sebagai Jaa Phanom, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat selepas berkongsi foto dan video di Instagram yang memperlihatkan perubahan ketara pada fizikalnya, dengan tubuh yang kelihatan semakin susut.
Menurut laporan Khaosod English, seorang individu yang rapat dengan Jaa memaklumkan kepada portal hiburan tempatan Nine Entertain yang Jaa didiagnosis menghidap kanser pundi hempedu tahap tiga, hampir memasuki tahap empat, dua tahun lalu.
Sumber tersebut berkata, Jaa pada awalnya mendapatkan rawatan perubatan selepas mengalami sakit perut yang teruk serta penyakit kuning (jaundis) yang menjejaskan kulit dan matanya.
Pemeriksaan lanjut oleh doktor kemudiannya mengesahkan diagnosis kanser berkenaan. Sejak itu, Jaa telah menjalani pembedahan bagi membuang tisu kanser dan kini masih meneruskan rawatan kemoterapi.
Sumber sama menambah, walaupun Jaa masih berada di bawah pemantauan perubatan rapi, keadaannya menunjukkan perkembangan positif. Dia juga telah kembali bertenaga dan kini bersenam setiap hari.
Keluarga Jaa juga dilaporkan menjaganya dengan baik, dan maklumat lanjut dijangka akan dijelaskan sendiri oleh pelakon itu serta keluarganya dalam masa terdekat.
Tony Jaa merupakan seorang artis seni mempertahankan diri, pelakon, koreografer aksi, pelakon lagak ngeri dan pengarah dari Thailand.
Dia meraih kemasyhuran antarabangsa menerusi filem seni bela diri Thailand Ong-Bak pada tahun 2003, diikuti Tom-Yum-Goong pada 2005, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bintang aksi paling dikenali di negaranya.
Antara filem antarabangsa yang pernah dibintanginya termasuk Furious 7 (2015), xXx: Return of Xander Cage (2017), dan Master Z: Ip Man Legacy (2018).



