BeritaViral

Farid Kamil Didakwa Ditahan Kes Penyalahgunaan Dadah, Diana Danielle Harap Tidak Benar

Pelakon, Diana Danielle, 35, berharap dakwaan yang mengaitkan bekas suaminya, aktor Farid Kamil dengan kes penyalahgunaan dadah tidak benar dan dia enggan membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut.

Menurut pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, dia sendiri tidak mengetahui situasi sebenar dan hanya mampu mendoakan yang terbaik, khususnya demi kelancaran urusan membesarkan anak-anak bersama.

“Sebenarnya saya sudah ditanya oleh wartawan beberapa hari lepas, tetapi sejujurnya saya memang tidak tahu apa-apa.

“Apa yang saya boleh katakan, saya doakan yang terbaik. Harapan saya agar kami dapat terus ‘co-parenting’ dengan baik.

“Itu sasaran saya. Saya mahu yang terbaik untuk dia dan saya mahu dia sentiasa berjaya,” katanya.

Tambah ibu dua cahaya mata itu, dia tidak mampu memberikan sebarang komen lanjut memandangkan tiada maklumat sahih mengenai perkara tersebut.

“Saya memang tak boleh komen lebih kerana saya sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku. Disebabkan ditanya, saya hanya boleh katakan saya tidak tahu,” jelasnya.

Dalam masa sama, Diana memaklumkan Farid masih menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dan kerap meluangkan masa bersama anak-anak mereka, termasuk anak sulung, Muhammad yang mengalami masalah lumpuh pada bahagian wajah.

“Ada, sudah semestinya dia melawat Muhammad. Hubungan dia dengan anak-anak sangat rapat. Sama ada hujung minggu atau hari biasa, mereka akan berjumpa.

“Hubungan itu masih sama. Anak-anak tidak boleh hidup tanpa kehadiran dia dan saya benar-benar mahu hubungan baik ini terus terjalin,” ujarnya.

Diana turut menegaskan peranan seorang bapa sangat penting dalam kehidupan anak-anak walaupun mereka tidak lagi bergelar suami isteri.

“Apabila kita sama-sama membesarkan anak dengan cara yang baik, hasilnya juga akan baik untuk mereka.

“Saya akan sentiasa menyokong perjalanan ini. Bagi saya, membesar dengan kehadiran bapa adalah sangat penting,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelakon lelaki ditahan reman selepas dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi membantu siasatan kes berkaitan dadah, sekali gus mencetuskan spekulasi di media sosial yang memetik nama Farid Kamil.

Untuk rekod, Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 sebelum sah bercerai talak satu buat kali kedua pada 24 Mac 2025. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 13, dan Nur Aurora, 11.

Related Articles

Back to top button