BeritaDrama

Along Eyzendy Ditidurkan Di ICU

Pelakon, Along Eyzendy, 47, kini berada dalam keadaan kritikal apabila tidak sedarkan diri dan terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS), Serdang, pada petang Khamis selepas tahap kesihatannya merosot secara mendadak.

Isterinya, Hamidah Mohd Yatim berkata, Along sebelum ini dimasukkan ke wad sejak Jumaat minggu lalu akibat demam dan batuk yang berpanjangan. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat jangkitan pada stent di saluran hempedunya.

“Akibat jangkitan itu, tekanan darah, paras hemoglobin serta bacaan platelet suami saya kerap turun naik. Ada hari keadaannya stabil, namun ada juga hari di mana semua bacaan menurun.

“Tadi, ketika doktor sedang memasukkan platelet, tiba-tiba Along tidak sedarkan diri. Apabila dipanggil dan diminta membuka mata, dia langsung tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya.

Menurut Hamidah lagi, hasil pemeriksaan ultrabunyi turut mendapati terdapat pembengkakan serta takungan nanah pada pundi hempedu suaminya.

“Semalam doktor telah menebuk pundi hempedu untuk mengeluarkan nanah dan memang terdapat darah kotor yang keluar. Perancangan awal adalah untuk memberikan antibiotik bagi merawat jangkitan tersebut.

“Namun, disebabkan kesakitannya yang terlalu teruk sehingga tidak mampu menjalani prosedur skop, doktor terpaksa menidurkannya buat sementara waktu supaya tubuhnya dapat berehat,” jelasnya.

Mengulas mengenai tempoh Along akan ditidurkan, Hamidah berkata ia bergantung sepenuhnya kepada kekuatan fizikal suaminya serta keadaan organ dalaman lain.

“Sekiranya dia kuat dan tiada komplikasi pada organ lain, insya-Allah dia akan sedar dengan lebih cepat. Kami berharap pendarahan tidak bertambah teruk malam ini supaya doktor dapat melakukan prosedur skop esok bagi mengenal pasti punca sebenar,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Related Articles

Back to top button