Remy Ishak Retak Tulang Rusuk, Cedera Di Set Penggambaran

Pelakon Datuk Remy Ishak dilaporkan mengalami kecederaan apabila tulang rusuknya retak selepas terlibat dalam satu insiden kecil ketika menjalani penggambaran filem terbaharu di Kota Tinggi, Johor.
Keadaan Remy disahkan stabil dan kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah pusat kesihatan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh pengurusnya, Azlin Abas.
“Remy mengalami keretakan tulang rusuk akibat kemalangan kecil di set penggambaran. Keadaannya stabil dan dia sedang menerima rawatan. Terima kasih atas keprihatinan semua,” katanya.
Menurut Azlin, pelakon berusia 42 tahun itu sudah menjalani imbasan di hospital kerajaan dan akan dibawa pula ke sebuah hospital swasta bagi pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaannya benar-benar selamat.
“Buat masa ini, dia masih memerlukan rawatan serta pemantauan rapi daripada doktor. Harapan kami agar tiada komplikasi serius supaya dia dapat kembali menyambung penggambaran selepas pulih sepenuhnya,” jelasnya lagi.
Sebelum itu, isteri Remy turut berkongsi perkembangan mengenai suaminya menerusi hantaran di Threads dengan memohon doa orang ramai agar pelakon kelahiran Melaka itu segera sembuh.
“Mohon doakan suami saya, Remy Ishak yang terlibat dalam kemalangan di set penggambaran. Semoga dia cepat sembuh dan dapat kembali bekerja seperti biasa,” tulisnya.



