DramaViral

Zara Zya Lebih 10 Tahun Hidup Diganggu Makhluk Halus

Lebih 10 tahun berdepan pengalaman menyeramkan, pelakon Zara Zya, 40, mendedahkan dirinya menjadi mangsa gangguan mistik yang memberi kesan kepada kehidupan harian.

Zara berkata pengalaman yang berpanjangan itu membuatkan dirinya semakin reda dan enggan membuat sebarang andaian sama ada gangguan tersebut berpunca daripada perbuatan individu tertentu atau sebaliknya.

Menurutnya, perkongsian yang dibuat di platform Threads sebelum ini hanyalah sebahagian kecil daripada pengalaman sebenar yang dilalui, termasuk kejadian aneh yang sering berlaku di sekitar kediamannya ketika melakukan aktiviti harian.

“Ada masa saya boleh rasa kehadiran itu, terutama ketika berada di dapur. Sampai satu tahap rasa penat kerana kerap berlaku, tapi saya anggap ia tetap makhluk ciptaan Allah,” katanya.

Tambah Zara, keadaan yang dialami kini jauh lebih terkawal berbanding sebelum ini, malah gangguan yang dahulunya berlaku tanpa mengira masa dan tempat sudah semakin berkurangan.

“Dulu memang mencabar sebab ada tempat tertentu pun saya tak berani pergi. Sekarang alhamdulillah, keadaannya lebih baik walaupun sesekali masih terasa,” ujarnya lagi.

Zara turut menjelaskan, dia tidak mahu terlalu membuka cerita atau menuding jari kepada sesiapa kerana enggan perkara tersebut disalah tafsir oleh orang ramai.

Mengulas usaha yang dilakukan untuk memulihkan keadaan, Zara berkata pelbagai ikhtiar telah diusahakan sepanjang tempoh tersebut, termasuk mendapatkan rawatan daripada pihak agama dan profesional kesihatan.

“Macam orang sakit, kita tetap berusaha untuk sembuh. Semua itu sudah saya lakukan. Cuma mungkin belum sampai masanya untuk pulih sepenuhnya,” ujarnya.

Menurut Zara, pengalaman itu juga mendekatkan dirinya kepada amalan kerohanian dan menjadi antara kekuatan utama untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa.

Sebelum ini, Zara mencuri perhatian warganet apabila berkongsi pengalaman misteri di Threads, mendakwa sering melihat bayang-bayang di dalam rumahnya dan menjelaskan perkara tersebut bukan kejadian baharu, sebaliknya telah lama dialami.

Related Articles

Back to top button