
Seorang lelaki obes di Melaka terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba selepas tidak mampu keluar dari bilik air sendiri.
Akibat keadaan fizikalnya, anggota bomba terpaksa mengangkat lelaki tersebut keluar dan membawanya ke hospital menggunakan lori pengangkutan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kerana saiz badannya tidak muat dimasukkan ke dalam ambulans.
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Taman Sri Gemilan, Kuala Sungai Baru pada Sabtu lalu.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.56 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah tiba di lokasi pada jam 3.08 pagi.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan seorang guru, dengan berat badan kira-kira 350 kilogram, terperangkap di dalam bilik air dan tidak mampu bergerak.
Isteri mangsa memaklumkan bahawa suaminya mengalami demam sejak seminggu lalu dan sedang bercuti sakit. Mangsa juga mempunyai sejarah asma serta mengalami sakit kaki akibat jangkitan, menyebabkan keadaannya menjadi semakin lemah.
Selain itu, mangsa tidak menjamah makanan sejak beberapa hari kerana hilang selera makan, sekali gus memburukkan lagi tahap kesihatannya.
Operasi menyelamat mengambil masa lebih lama daripada kebiasaan berikutan ruang bilik air yang sempit serta bagi memberi masa kepada mangsa menahan kesakitan.
Selepas kira-kira 20 minit, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa sebelum membawanya ke Hospital Alor Gajah menggunakan lori pengangkutan bomba kerana dia tidak dapat dimuatkan ke dalam ambulans.
Operasi menyelamat berakhir pada jam 4.18 pagi dan semua anggota bomba dilaporkan selamat.



