Rezeki Eizlan Yusof Terima Orang Baharu

Pelakon dan penerbit Datuk Seri Eizlan Yusof, 54, menimang cahaya mata kelima apabila isterinya, Datin Seri Sasha Boudville selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Zareen Rosa.
Pemilik nama sebenar Idris Md. Yusof meluahkan rasa syukur atas kurniaan Allah SWT serta menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan isterinya sepanjang proses kelahiran.
“Assalamualaikum Zareen Rosa. Alhamdulillah & syukur kepada Allah SWT atas segala limpah kurnia-Nya.
“Terima kasih yayang (isteri),” tulisnya dalam sebuah hantaran sambil memuat naik foto isteri bersama doktor yang merawatnya di hospital.
Dalam hantaran berasingan, Eizlan turut berkongsi momen bersama puteri sulungnya itu, namun wajah bayi berkenaan dilindungi dengan emoji berbentuk hati.
Untuk rekod, Eizlan mendirikan rumah tangga bersama Sasha pada tahun 2019 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang puteri, Zaelynn Rosa yang kini berusia lima tahun.
Sebelum itu, Eizlan memiliki tiga orang cahaya mata daripada perkahwinan terdahulunya bersama usahawan, Vie Shantie Haroon Khan.



