
Penyanyi, Ayu Damit, 37, mendedahkan sepanjang hampir dua dekad bergelar anak seni, dia sering berdepan pelbagai persepsi negatif berkaitan penampilan diri.
Ini termasuk dilabel berimej kampung, tidak cantik serta dikatakan tidak layak berada dalam industri hiburan kerana berwajah desa.
Menurut Ayu, kritikan itu bukan sahaja melukai perasaan, malah memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya sehingga menyebabkan dia mengalami kemurungan.
“Saya pernah sangat kecewa dan terasa hati apabila orang kata wajah saya kampung, tak cantik dan tak sesuai jadi penyanyi.
“Bila perkara itu diulang-ulang, lama-kelamaan ia masuk ke dalam kepala dan dari situ saya mula jatuh dalam kemurungan,” luahnya.
Tekanan yang dialami Ayu bagaimanapun tidak terhenti setakat itu. Katanya, setiap kali dia cuba memperbaiki penampilan dengan berpakaian lebih kemas, tindakannya itu pula dipertikaikan segelintir pihak.
“Apabila saya cuba tampil cantik, ada yang kata saya berlebihan. Bila jaga penampilan, masih juga tak kena. Apa sahaja yang saya buat, semuanya salah di mata orang.
“Ada yang sanggup kata suami saya tak pandai didik isteri. Cara saya bertudung juga dihina, sampai ada yang cakap ketat macam pakai pembalut nangka.
“Kata-kata seperti itu bukan sekadar menghina saya, malah seolah-olah menghina keluarga saya. Saya sangat sensitif bila melibatkan keluarga,” katanya lagi.
Akui Ayu, walaupun kelihatan kuat di luar, hakikatnya dia hanya memendam segala luka itu seorang diri.
“Saya manusia biasa, saya ada perasaan. Saya mungkin nampak kuat, tapi hanya Allah yang tahu betapa peritnya saya simpan semua ini dalam hati,” luah pelantun lagu Hanya Di Mercu itu.
Bagaimanapun, pengalaman pahit tersebut mengajarnya untuk berdamai dengan diri sendiri dan melihat nilai seorang wanita dari sudut yang lebih mendalam.
“Saya sedar nilai seorang wanita bukan terletak pada kecantikan di mata manusia, tetapi pada kekuatan hati dan keikhlasan diri,” ujarnya.



