GlobalMusic

Golden Cipta Sejarah ‘Emas’ Menang Anugerah Grammy

Runut bunyi asal bertajuk Golden daripada filem animasi Netflix K-Pop Demon Hunters sekali lagi mencipta sejarah.

Golden diumumkan sebagai pemenang kategori Best Song Written for Visual Media pada Majlis Pra-Anugerah Grammy Ke-68 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 1 Februari, waktu tempatan.

Kategori tersebut memberi pengiktirafan kepada penulis lagu yang menghasilkan karya untuk media visual dengan kecemerlangan artistik dan muzik, menjadikan ia sebagai kemenangan yang sangat bermakna.

Didorong oleh kejayaan global filem K-Pop Demon Hunters, Golden telah membuktikan impaknya di peringkat antarabangsa.

Dinyanyikan oleh HUNTR/X, yang terdiri darupada EJAR, Audrey Nuna dan Rei Ami, Golden menjadi lagu K-Pop pertama yang berjaya menduduki tempat teratas Billboard Hot 100 di AS dan UK Official Singles Chart Top 100 secara serentak, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai hit global.

Dengan kemenangan ini, barisan pencipta lagu iaitu EJAE, Teddy, 24, dan IDO (Yoo Han, Kwak Jung-gyu dan Nam Hee-dong) secara rasmi bergelar pemenang Anugerah Grammy.

Walaupun sebelum ini terdapat individu asal Korea atau profesional yang berpangkalan di luar negara memenangi Grammy, ini merupakan kali pertama komposer dan penerbit K-Pop sendiri menerima anugerah Grammy, sekali gus menarik perhatian besar dalam industri muzik.

Menerusi ucapan ketika menerima anugerah, penerbit, 24 mendedikasikan penghormatan kepada sahabatnya, juga rakan penulis Teddy.

“Walaupun beliau tidak dapat bersama kami hari ini, saya dedikasikan penghormatan ini kepada mentor terhebat dan sahabat paling rapat saya, Teddy, perintis K-Pop yang sentiasa bersama saya sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Kemenangan ini menandakan satu pencapaian bersejarah bukan sahaja buat K-Pop Demon Hunters, malah untuk pengaruh K-Pop yang semakin berkembang dalam industri muzik dan perfileman global.

Related Articles

Back to top button