
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, menafikan dakwaan kononnya dia telah mengedarkan kad undangan perkahwinannya bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Saddiq menjelaskan video yang menunjukkan dirinya seolah-olah menyerahkan sesuatu di Parlimen telah disalah tafsir.
Menurutnya, bahan berkenaan sebenarnya adalah permohonan rasmi yang dibawa bagi mewakili suara dan kepentingan rakyat Muar, bukannya kad jemputan perkahwinan.
“Saya nak bercakap jujur, apabila perkara itu disampaikan di Parlimen, ia sebenarnya merupakan permohonan daripada saya bagi pihak orang Muar kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
“Itu adalah tugas dan tanggungjawab hakiki saya sebagai wakil rakyat untuk menyampaikan perkara tersebut kepada kepimpinan negara,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai spekulasi perkahwinannya, Saddiq menegaskan sekiranya kad undangan perkahwinan benar-benar sudah siap suatu hari nanti, perkara itu pasti akan dimaklumkan kepada umum.
“Kalau betul ada kad undangan perkahwinan, anda semua akan tahu. Jangan risau, waktu saya akan tiba. Perkara ini juga bukan sesuatu yang baharu bagi saya dan wanita istimewa, Bella.
“Saya sentiasa meminta orang ramai mendoakan saya kerana dia sangat penting dalam hidup saya. Insya-Allah tahun ini merupakan tahun yang sangat bermakna dan istimewa,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Saddiq turut menzahirkan penghargaan kerana masih diberi kepercayaan untuk bekerjasama dengan pelbagai jenama sebagai duta sekali gus memberi impak positif kepada kawasan Parlimen Muar.
“Alhamdulillah, tahun lalu sahaja saya berjaya menyumbangkan RM4.5 juta untuk Parlimen Muar meliputi bantuan makanan, komputer riba, biasiswa pendidikan dan pelbagai inisiatif lain,” luahnya penuh syukur.



