
Duo pereka fesyen terkemuka tanah air, Rizman Ruzaini memilih untuk tidak melatah apabila namanya dikaitkan dengan kontroversi tuntutan wang berjumlah RM1.3 juta yang difailkan oleh suami kepada pelakon, Datin Intan Najuwa.
Rizman atau nama sebenarnya Rizman Nordin berkata, dia menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada proses perundangan dan enggan mengulas lanjut selagi prosiding mahkamah masih berjalan.
Menurutnya, isu berkenaan mempunyai dua sudut pandang dan secara peribadi, dia menghormati proses undang-undang yang sedang berlangsung.
“Bagi pihak kami, saya tidak boleh memberikan sebarang komen kerana perkara ini masih dalam prosiding mahkamah.
“Saya menghormati proses tersebut dan percaya setiap isu perlu ditangani dengan penyelesaian terbaik,” katanya.
Bagaimanapun, Rizman memaklumkan bersedia memberikan penjelasan berhubung isu tersebut pada masa yang bersesuaian selepas kes berkenaan selesai sepenuhnya.
“Apabila tiba masanya nanti, saya sendiri akan bercerita. Buat masa ini, saya memilih untuk tidak cepat melatah dan menunggu proses ini diselesaikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rizman menegaskan kontroversi berkenaan tidak menjejaskan reputasi jenama Rizman Ruzaini yang telah bertapak lebih dua dekad dalam industri fesyen tanah air.
“Sokongan pelanggan masih sangat kuat, Alhamdulillah. Saya rasa perkara ini tidak memberi kesan besar kepada peminat rekaan kami yang sentiasa setia menyokong sejak dahulu,” katanya lagi.
Sementara itu, rakan kongsinya, Ruzaini pula mengambil pendekatan terbuka terhadap kritikan dan pandangan sinis segelintir pihak berkaitan isu berkenaan.
“Bagi saya, setiap orang berhak memberikan pandangan masing-masing. Ada masa kita berada di atas dan ada masa kita diuji, yang penting bagaimana kita mengharungi cabaran tersebut,” jelasnya.
Sebelum ini, Intan mendedahkan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, memenangi kes saman terhadap Rizman Ruzaini berkaitan tuntutan bayaran semula pinjaman berjumlah RM1.3 juta.
Pendedahan itu dibuat menerusi hantaran di Instagram miliknya dengan memuat naik dokumen penghakiman Mahkamah Tinggi selepas hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri bagi menghormati proses undang-undang.



