BeritaViral

Wanita Mengamuk di Restoran Mamak Ipoh, Dua Pekerja Cedera

Seorang wanita yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental telah mengamuk di sebuah restoran mamak di Taman Tasek Damai, Ipoh dengan merosakkan perabot serta menyerang pekerja.

Gambar kejadian selepas insiden itu tular di media sosial, memaparkan kerusi terbalik, serpihan kaca dan peralatan makanan berselerak di lantai.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 pagi itu bermula apabila wanita berkenaan meminta seorang pekerja memindahkan wang ke dalam akaun bank miliknya.

Namun, selepas permintaannya ditolak, wanita tersebut bertindak agresif dengan memukul seorang pekerja dan mencederakan rakan sekerjanya menggunakan garpu.

Dia turut memecahkan tiga bekas makanan kaca menggunakan sebilah parang serta mengambil kira-kira RM400 dari mesin daftar tunai sebelum ditahan polis.

Akibat kejadian itu, restoran mamak berkenaan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM45,000, lapor Kosmo.

Abang Zainal berkata siasatan awal mendapati wanita tersebut baru sahaja dibenarkan keluar dari Hospital Taiping selepas menjalani rawatan psikiatri.

Sementara itu, dua orang pekerja mengalami kecederaan pada bahagian mulut, pipi dan dada, telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Wanita tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemerhatian lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 324, 427 dan 380 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencederakan, khianat dan mencuri.

Sumber: Kosmo!

Related Articles

Back to top button