Uyaina Arshad Letak Batas Ketika Beraya, Tak Bagi Anak Dicium

Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, 34, memilih untuk mengutamakan keselamatan serta kesihatan anak kecilnya apabila menetapkan batas terhadap tetamu yang datang beraya, termasuk tidak membenarkan bayinya dicium.
Menurut pemilik nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad, keputusan itu dibuat demi melindungi bayi ketiganya yang baru dilahirkan pada 30 Januari lalu daripada risiko jangkitan kuman.
“Saya sangat jujur sebelum serahkan bayi kepada orang, saya akan cakap jangan cium, pegang boleh lagi.
“Tapi saya faham sesetengah orang bila dengar mesti cakap kenapa tak bagi cium, macam saya seorang ada anak.
“Bagi saya, pekakkan telinga saja sebab yang penting anak saya sihat. Kita semua tahu kalau cium pipi bayi baru lahir, boleh memberi jangkitan kepada bayi.
“Banyak dah kes berlaku. Jadi saya tak kisah pun kalau ada orang nak kata saya over protective, kalau bukan mak ayah yang jaga budak itu siapa lagi kan?,” katanya.
Dalam pada itu, Uyaina turut berkongsi perancangan sambutan Aidilfitri tahun ini yang dijangka lebih sederhana berbanding kebiasaan memandangkan keadaan anak mereka yang masih kecil.
Katanya, dia bersama suami, Raja Syahiran, mengambil pendekatan untuk tidak terlalu aktif menziarahi sanak saudara seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Kali ini buat pertama kalinya kami ambil gambar keluarga di studio sebab tak tahu kejadian pagi raya nanti macam mana.
“Selama ini rutin saya dengan Syahiran dan keluarga mentua adalah pergi solat Aidilfitri di masjid dulu. Balik baru bersiap, salam raya dan pergi menziarah.
“Tahun ini mungkin sedikit lain sebab ada bayi kecil, jadi tak nak terlalu keluar sangat. Tapi tak adalah juga menyekat ada ahli keluarga nak datang,” katanya lagi.
Untuk rekod, Uyaina mendirikan rumah tangga dengan Raja Syahiran pada 21 Disember 2021 dan pasangan itu kini dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan, Raja Urayyan dan bayi bongsu mereka, Raja Uzayn.



