Umairah Bawa Rakan Sekolah Dalam MV Tak Balik Raya

DILEMA terpaksa menyambut raya bersendirian tanpa keluarga di sisi menjadi tema utama kepada lagu Tak Balik Raya nyanyian Umairah, seorang penyanyi muda yang sedang meningkat naik.

Pastinya ramai yang pernah melalui situasi tersebut dan kisah sebahagian daripada mereka digarap untuk menyampaikan emosi rindu dan sayu namun dalam masa yang sama menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi yang segar.

Menurut Umairah, Tak Balik Raya menceritakan realiti sebenar yang dialami oleh anak rantau setiap kali menjelang musim perayaan.

“Lagu ini mudah melekat di ingatan dan sejak saya mengeluarkan ‘teaser’ atau petikan awal lagu ini, saya menerima komen positif daripada pendengar.

“Sejujurnya saya terharu dengan sokongan yang diberikan memandangkan karier nyanyian pun baru sahaja bermula,” ujar anak saudara kepada Biduanita Negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Bakat besar yang ada di dalam dirinya dikagumi ramai sementelah dia juga pernah tular dengan video nyanyian sebelum ini.

Umairah juga berani menyahut cabaran bertanding di World Championship Of Performing Arts (WCOPA2024) di Los Angeles, Amerika Syarikat dan bergelar juara kategori Vokal Junior.

Bercerita mengenai Tak Balik Raya pula, lagu ini merupakan ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito. Seakan-akan jatuh cinta pandang pertama, dia terpaut hati dengan demo yang diberikan beberapa bulan lalu.

“Saya tidak menunggu lama untuk bersetuju memilih dan merakamkan lagu ini. Muzik dan emosi lagu ini juga sesuai dengan usia remaja saya,” tambah Umairah penuh yakin.

Dilancarkan secara rasmi lada 7 Mac lalu, video muzik (MV) lagu ini boleh ditonton melalui YouTube Universal Music.

Dia juga menampilkan penari pengiring yang terdiri daripada rakan-rakannya dari Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur untuk berkongsi peluang kepada mereka terlibat sama.

Related post

Leave a Reply