Trisha Ooi Lali Ditanya Perihal Jodoh
SETIAP kali pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri, pelakon, Trisha Ooi, 25, memberitahu sering menerima pertanyaan mengenai jodoh daripada saudara mara.
Mengakui sudah lali diajukan soalan sedemikian, pemilik nama lengkap Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi bagaimanapun tidak mengambil hati, sebaliknya menganggap itu adalah modal untuk berbual.
“Setiap kali hari raya mesti akan ada yang tanya, bila nak kahwin. Itu soalan yang biasa saya terima.
“Saya tak ambil hati pun, biasalah saudara mara nak ajak berborak. Lagi pula hanya sudara mara sahaja yang tanya, keluarga tak tanya sebab mereka faham.
“Antara soalan yang saya terima, ‘awak bila pula’, ‘dah ada kekasih ke belum’,” kongsinya.
Bukan tidak mahu bercinta, Trisha berkata, fokusnya kini adalah untuk mengukuhkan namanya dalam industri seni dan mahu memberi fokus sepenuhnya kepada kerjaya lakonan.
“Buat masa sekarang memang tiada yang mendekati, mungkin jodoh belum sampai. Apa pun semua doakan saya,” tambahnya.
Berkongsi mengenai sambutan raya, Trisha berkata dia dan keluarga pulang ke kampung halaman ibunya di Kluang, Johor.