Tragedi Putra Heights: Rumah Hangus Terbakar, Bilik Solat Tak Dijilat Api
Siapa sangka, di sebalik tragedi letupan gas di Putra Heights yang berlaku awal April lalu, terdapat satu hal yang dianggap sebagai ‘ajaib’ telah berlaku.
Menerusi perkongsian Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi di TikTok, terdapat sebuah bilik solat di satu rumah yang didakwa masih dalam keadaan elok, sungguhpun hampir keseluruhan kediaman mengalami kerosakan akibat letupan berkenaan.
Menerusi video berkenaan, permaidani, sejadah, telekung dan katil di bilik tersebut masih dalam keadaan elok. Namun, perabot lain dilihat hangus terbakar.
Hal berkenaan sudah tentu menimbulkan rasa pelik memandangkan kebakaran tempoh hari, yang mencecah 1,000 darjah celcius telah merosakkan ratusan harta benda di kawasan perumahan tersebut.
“Salah satu rumah yang terjejas teruk tapi bilik solat masih dalam keadaan baik. Di sebalik musibah, ada tanda kekuasaan-Nya,” katanya.
Pada ruangan komen, ramai dalam kalangan netizen mengucapkan kesyukuran dan memuji kebesaran Allah SWT di sebalik kejadian yang berlaku.
Salah seorang pengguna yang dipercayai biras kepada pemilik rumah berkenaan berkata, pemilik rumah itu sangat menjaga solat dan kerap bersedekah.
Dalam pada itu, Najwa Halimi menitipkan doa kepada semua mangsa terjejas agar diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan pemulihan.