‘Tolonglah Papa Mama, Serah Diri & Ganti Duit Mangsa’
Penyanyi, Ben Ladin, 24, tampil membuat laporan polis selepas diganggu oleh beberapa individu yang mendakwa telah menjadi mangsa penipuan ibu bapanya.
Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Benladin, selain orang luar, ahli keluarga terdekat termasuk dirinya juga telah terperdaya dan menjadi mangsa.
“Berapa lama lagi? Mula-mula fikir nak diam sahaja tapi sampai ke telinga sendiri diaibkan orang yang kita jaga aibnya.
“Mana pergi duit saya, duit datuk? Mana pergi duit projek raya yang guna nama saya?
“Mana duit mangsa-mangsa lain? Mangsa dia bukan seorang dua tetapi sangat ramai termasuk orang asing.
“Walau mereka ibu bapa saya, salah tetap salah. Seperti mana saya maklumkan, saya sudah beri keterangan dekat balai polis,” kongsinya menerusi hantaran di Instagram.
Mengakui sudah penat asyik diganggu, pelantun lagu ‘Hikayat Benladin’ itu berharap ibu bapanya tampil dan memulangkan semua duit mangsa.
“Jujur saya katakan, saya sudah penat dengan semua ini. Bukan setiap bulan, tetapi hampir setiap hari dapat cerita baru orang minta duit.
“Tolonglah papa mama, serah diri kepada mangsa. Ganti duit-duit mangsa. Jangan ‘play victim’.
“Saya minta maaf kerana tiada cara lain saya boleh bantu. Jumlah wang yang dikumpul semua mangsa sangat besar,” ungkapnya lagi.
Sebelum ini, Ben mendakwa dia semakin jarang dipanggil membuat persembahan disebabkan perbuatan ibu bapanya yang suka menipu.
Bahkan, Ben mendakwa ibu bapanya menyalahgunakan kad pengenalannya, meniru tandatangan dan mencagarkan kereta miliknya.