Belum Ada Lelaki Istimewa Di Hati Hawa Rizwana
Didakwa sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki, pengacara dan pelakon, Hawa Rizwana, 30, menepis khabar angin tersebut.
Menurut pemilik nama lengkap Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, tiada mana-mana lelaki yang sedang bertakhta di hatinya buat masa sekarang.
“Saya bercinta? Sejujurnya saya belum ada sebarang perancangan untuk mengenali hingga ke fasa seterusnya.
“Tetapi saya berkawan sahaja dengan semua orang, namun ingin saya jelaskan tiada lelaki yang istimewa buat masa sekarang dalam hati ini,” katanya dalam sebuah majlis, baru-baru ini.
Meskipun usia sudah menginjak 30, pengacara program MeleTOP itu bagaimanapun enggan memikirkan soal jodoh, sebaliknya mahu memberi fokus kepada kerjaya dan bisnes tudungnya.
Namun, tidak pernah menghalang mana-mana lelaki sekiranya ingin berkenalan.
“Tiada masa nak fikir fasal jodoh, sekarang waktu agak mencabar. Tambahan lagi saya baru ada perniagaan sendiri.
“Justeru, saya mahu memberi fokus kepada perniagaan dan kerjaya. Namun, saya sentiasa terbuka untuk berkenalan dengan sesiapa sahaja,” tambahnya lagi.