
“Tentera Israel Paksa Saya Buka Tudung, Baju Digunting” – Zizi Kirana
Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), Zizi Kirana, 40, berkongsi pengalaman hitam yang tidak akan dilupakan seumur hidup apabila berdepan layanan kejam ketika berada dalam tahanan tentera Israel .
Pemilik nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil, mendedahkan dia bukan sahaja diperlakukan secara kasar, malah dipaksa membuka tudung dan stoking sehingga auratnya terdedah.
Lebih menyayat hati, bajunya turut digunting oleh tentera rejim zionis dengan alasan tidak mahu dia memakai pakaian lain di dalam penjara.
“Apabila nama saya dipanggil untuk masuk ke imigresen, mereka suruh buka stoking dan kasut tapi saya cakap tak nak buka stoking. Namun dia paksa juga, saya kata haram.
“Dia paksa pula saya buka tudung, saya cakap saya Muslim, haram untuk saya buka hijab. Saya pegang tudung saya sambil ada orang tarik dari belakang, sampai kawan-kawan satu kapal saya menangis, mereka jerit suruh saya kuat.
“Ketika itu saya doa agar Allah beri balasan yang paling setimpal dengan kezaliman yang mereka buat terhadap seluruh umat Islam di dunia ini,” katanya dalam sebuah temu bual.
Kongsi Zizi lagi, walaupun berdepan detik menakutkan, dia tetap berusaha untuk tenang dan tabah agar tidak menimbulkan kekecohan yang boleh memudaratkan diri.
“Dia cakap nampak saya di TikTok dan Instagram, katanya saya sangat dikenali. Saya tengok saja dengan senyuman sinis walaupun dalam hati cakap, ‘Ya Allah, inilah makhluk paling zalim yang aku tengah hadap’.
“Saya perlu bertenang supaya emosi tak terganggu dan tidak timbul masalah lain. Tapi sebelum naik bas ke penjara, sekali lagi hijab saya ditarik.
“Baju bahagian dalam saya digunting sebab dia tak nak ada baju lain. Kasut dan stoking juga dibuka,” ujarnya lagi.
Sabtu lalu, Zizi Bersama 22 sukarelawan Malaysia yang lain selamat tiba di Instabul, Turkiye selepas beberapa hari ditahan oleh tentera Israel sewaktu menjayakan misi kemanusiaan GSF menuju ke Gaza.