Tangguh Rawatan Kanser Kerana Kurang Dana
KISAH pilu menyelubungi pelawak senior Indonesia Nunung apabila dia berhadapan dengan masalah kewangan kronik sehingga tidak mampu lagi untuk membiayai kos perubatan untuk merawat penyakit kanser payudara yang dihidapinya.
Jelas wanita yang berusia 61 itu lagi, dia sepatutnya melakukan satu pembedahan lagi namun dek kerana kekurangan dana maka harus terus bekerja meskipun dalam keadaan sakit.
“Dahulu tak mengapa masih ada aset. Tapi sejak lima tahun lalu, satu persatu habis dijual untuk membiayai penyakit ini,” kata Nunung dalam satu temubual bersama pengacara Deddy Corbuzier.
Malah dalam temubual yang penuh emosi, Nunung menjelasnya yang dia harus kuat berjalan memandangkan hidupnya bukan bersama suami semata-mata sebaliknya ada keluarga besar yang harus dijaga.
Tanpa segan silu, dia mengakui mempunyai sejumlah hutang di bank dan sudah menggadaikan geran rumah selain perlu menanggung bil keluarga besar yang berada di Solo, Jawa Tengah.
Deddy dengan penuh berhati-hati bertanyakan kepada Nunung berapakah jumlah wang yang ada ketika dia hadir ke rancangan tersebut.
“Beberapa bulan ini tak ada duit. Dalam akaun bank hanya ada Rp100,000 (RM27). Saya masih menunggu. Kalau jadi bintang tamu (stesen TV) bayarannya lambat dan perlu menunggu dua atau tiga bulan,” jawabnya.

Namun begitu, Nunung realistik yang keadaan ini berlaku disebabkan usianya yang tidak lagi muda. Dia pernah berada di puncak kerjaya dan sedar posisi tersebut diganti dengan orang baharu.
Keadaan itu sangat menyentuh hati Deddy yang menganggap wanita itu seorang legenda hebat yang sudah ditonton sejak kecil. Tidak sepatutnya fasa ini berlaku kepadanya.
“Mami Nunung, izinkan saya bantu biaya pembedahan. Saya ada hutang yang banyak kepada mami. Sejak kecil sudah menonton mami, anda memang legenda,” ungkap Deddy disambut tangisan Nunung.
Terdahulu, pelakon Raffi Ahmad tampil membantu bisnes restoran yang dijalankan Nunung bersama keluarga di Solo.
Restoran Songoseng By Mami Nunung baru sahaja diusahakan sejak November 2024 mendapat sambutan hangat daripada penduduk sekitar dan menghasilkan pendapatan buat keluarganya.
“Raffi banyak membantu saya dan dia juga orang pertama yang memberikan idea untuk membangunkan restoran,” tambahnya pelakon yang popular dengan program Opera Van Java ini lagi.
Foto: Intipseleb