
Barisan panjang di kantin sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada rutin sekolah. Namun, satu hantaran media sosial tular baru-baru ini menunjukkan pelajar-pelajar membuat pesanan makanan melalui aplikasi, dengan hidangan dihantar terus ke bilik darjah.
Dikongsikan oleh seorang ibu, dalam hantarannya, wanita itu memuat naik paparan menu dalam aplikasi bersama gambar petugas kantin menyediakan bekas-bekas makanan yang disusun di koridor sekolah.
“Murid hanya perlu buat pesanan dalam aplikasi, bayar secara dalam talian dan pihak kantin akan hantar makanan ke setiap kelas. Ia memang memudahkan anak-anak,” tulisnya.
Tiada lagi rutin perlu bergegas ke kantin. Tiada masalah untuk bersesak dalam lautan pelajar yang mahu membeli makanan. Hanya sentuh skrin, buat pesanan dan tunggu waktu makan tengah hari tiba di depan pintu kelas.
Ramai netizen memuji sistem ini sebagai cekap dan tersusun. Ada juga yang menyatakan tempahan digital membantu sekolah mengekalkan tahap kebersihan yang lebih baik, mengurus stok dengan lebih tepat, serta mengurangkan pembaziran makanan.
Walaupun ada yang kagum dengan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang ditampilkan dalam hantaran tersebut, ada juga yang menegaskan bahawa sistem ini bukan terhad kepada sekolah aliran Cina sahaja.

“Sebenarnya banyak sekolah kebangsaan (SK) pun dah lama guna sistem ini. Sekolah anak saya guna aplikasi sejak sebelum Covid lagi,” komen seorang ibu bapa.
Seorang lagi ibu bapa berkongsi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah anaknya telah memperkenalkan sistem e-kupon, sekali gus menjadikan sekolah tersebut antara perintis pembayaran tanpa tunai bagi makanan.
Pengguna media sosial itu menjelaskan, sistem berkenaan diwujudkan untuk mengelakkan kes kecurian wang saku serta menghalang pelajar membeli makanan daripada penjaja tidak berlesen di luar kawasan sekolah.
“Bila tak guna wang tunai, murid tak boleh beli daripada penjual luar. Ibu bapa juga boleh buat tempahan awal untuk seminggu. Ia lebih selamat dan mudah,” katanya.
Tambahnya lagi, sistem tersebut dilengkapi pelbagai fungsi termasuk pemantauan pembelian dan penetapan had perbelanjaan, sekali gus memberi ibu bapa kawalan lebih baik terhadap pemakanan anak-anak di sekolah.
Perbincangan akhirnya beralih kepada peranan PIBG. Ramai netizen bersetuju bahawa apabila ibu bapa bekerjasama dan menyokong inisiatif sekolah secara aktif, lebih mudah untuk pihak sekolah memperkenalkan kemudahan serta sistem moden.
“Bila ibu bapa dan PIBG bekerjasama, murid yang paling mendapat manfaat,” tulis seorang lagi pengguna media sosial.



