Berita

Suspek Kes Tikam Pelajar Disahkan Autistik, Direman 4 Hari

Semalam, sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor digemparkan dengan kejadian seorang pelajar perempuan menikam seorang pelajar lain berkali-kali menggunakan pisau sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.

Ketika polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif serangan itu, beberapa maklumat baharu mengenai suspek mula didedahkan.

Menurut The Star dan Utusan Malaysia, suspek diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, S. Vijeswari Devi.

Devi memaklumkan kepada media bahawa anak guamnya merupakan seorang orang kurang upaya (OKU).

Bagaimanapun, pihak Devi enggan mengulas lanjut.

“Anak guam saya seorang autistik. Itu sahaja yang boleh saya katakan,” katanya.

Terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok pagi tadi sebelum diperintahkan direman selama empat hari oleh Majistret Maslinda Selamat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, tempoh reman itu bagi membolehkan polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam (6 Julai), seorang pelajar perempuan dilaporkan ditikam lebih 10 kali pada bahagian belakang badan dan bahu oleh suspek.

Sementara itu, tular dakwaan di media sosial yang mendakwa suspek sebelum ini telah dibuang sekolah dan bertindak membalas dendam terhadap individu yang didakwa pernah membulinya.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut belum disahkan oleh pihak polis.

Bapa mangsa sebelum ini turut memaklumkan bahawa beliau percaya anaknya bukan sasaran sebenar suspek. Menurutnya, mangsa dan suspek pernah berada dalam kelas yang sama pada tahun lalu.

Related Articles

Back to top button