Sufian Suhaimi Rancang Nikah Tahun Ini

Penyanyi, Sufian Suhaimi, 33, merancang untuk melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya, Rania Al Sadat pada tahun ini.

Menurut Sufian, dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami dan percaya tidak elok jika menangguh sesuatu niat baik.

“Kami berdua sudah saling mengenali antara satu sama lain, kami sudah kenal sejak tahun lalu dan hubungan juga baik.

“Masing-masing sedang membina kerjaya. Saya rasa tahun ini adalah tahun yang tepat untuk melaksanakan sesuatu yang benar (fasa halal).

“Tiada siapa yang benar-benar 100 peratus bersedia untuk bergerak ke fasa yang lebih serius. Pada akhirnya, bergantung kepada niat kita untuk menamatkan zaman bujang,” katanya dalam sebuah majlis, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata pelantun lagu ‘Di Matamu’ itu, dia menyerahkan segalanya kepada Ilahi.

“Kalau boleh saya tidak mahu bercinta lama-lama, kalau dah merancang lebih elok laksanakan secepat mungkin. Moga-moga dipermudahkan segalanya, insya-Allah.

“Berkahwin ini bukan soal seronok semata-mata, tetapi perlu memikirkan tentang tuntutan agama dan tanggungjawab dalam rumah tangga,” kongsinya lagi.

Pada April tahun lalu, Sufian mendedahkan sudah putus cinta dengan Rania dan cincin merisik sudah dipulangkan.

Namun, pada Januari lalu, cinta mereka kembali bertaut apabila Sufian memuat naik foto wanita berkenaan berserta emoji hati di Instagram miliknya.

Related post

Leave a Reply