Suami Sokong Nabila Razali Sorok Wajah Anak
Percaya dengan penyakit ain, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali belum bersedia untuk berkongsi wajah serta nama anaknya yang kini sudah berusia dua bulan kepada umum.
Menurut pemilik nama lengkap Nur Nabila Mohd Razali, 32, dia mengambil langkah berhati-hati sebelum perkara tidak diingini berlaku.
“Tipu kalau tidak risau dengan penyakit ain, saya percaya penyakit itu wujud. Tambah lagi, sekarang dengan macam-macam kes berlaku melibatkan bayi.
“Saya tidak mahu mengambil sebarang risiko, lagi pula saya seorang figura umum yang sentiasa menjadi perhatian. Saya berasa risau.
“Kalau orang biasa pun boleh jadi mangsa inikan pula saya yang kerjanya perlu berjumpa orang ramai.
Tambah pelantun lagu ‘Pematah Hati’ itu lagi, keputusan untuk tidak mendedahkan wajah anak mendapat sokongan daripada suami, Nik Iruwan Nik Izani.
“Insya-Allah kalau saya dah bersedia akan kongsi di media sosial. Saya dan suami ada pemahaman yang sama dan bersetuju untuk tidak dedahkan wajah dan nama anak buat masa sekarang.
“Saya sedar ramai yang bertanya, nanti kalau saya dah tunjuk korang tataplah puas-puas ya.
Imbas kembali, Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023.
Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 23 Disember tahun lalu.