Siti Nurhaliza Minta Maaf Promosi Produk Nikotin

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memohon maaf atas kecuaian memang naik satu video promosi produk berkaitan dengan nikotin di media sosial miliknya.

Jelasnya, dia terkhilaf dalam memuat perkongsian tersebut tanpa menyelidiki dan mengetahui terlebih dahulu produk yang cuba dipromosikan.

“Maaf atas khilaf saya mengenai produk yang saya masukkan di IG (Instagram) feed saya sebelum ini.

“Saya sedar ini adalah khilaf saya tanpa menyelidik atau mengetahui sepenuhnya mengenai produk terbabit,” tulisnya di Instagram Story miliknya.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Aku Cinta Padamu itu lagi, menerima teguran dengan hati yang terbuka dan segera memadam hantaran berkenaan.

“Terima kasih di atas teguran, pemberitahuan dan juga memaklumkan hal ini kepada saya.

“Saya sudah memadamkan hantaran itu dan terima kasih sekali lagi di atas teguran yang diberikan,” katanya.

Siti mengakui terkhilaf dalam mempromosikan produk berkenaan.

Perkongsian yang dibuat oleh penyanyi berusia 46 tahun itu mendapat perhatian ramai termasuk akaun Public Health Malaysia yang menegur tindakan penyanyi berkenaan mempromosikan produk.

Pengendali akaun berkenaan menegaskan aktiviti mempromosikan produk tersebut melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 selain tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang.

Related post

Leave a Reply