Global

Siasatan Dadah Baharu Goncang Korea Selatan, Kes Burning Sun Mungkin Dibuka Semula

Pihak berkuasa Korea Selatan melancarkan siasatan besar-besaran terhadap Park Wang Yeol, seorang pesalah dadah berprofil tinggi yang sebelum ini melarikan diri ke luar negara, sekali gus mencetuskan kemungkinan pembukaan semula skandal terkenal Burning Sun yang pernah melibatkan bekas anggota kumpulan Big Bang, Seungri.

Dalam satu sidang media baru-baru ini, Pemangku Ketua Agensi Polis Kebangsaan, Yu Jae Sung ditanya berkata, jika terdapat sebarang kaitan yang disahkan kemudian, kami pihak berkuasa bertindak mengikut undang-undang dan prinsip.

Walaupun setakat ini tiada bukti yang mengaitkan Seungri atau selebriti lain secara langsung dengan siasatan baharu berkenaan, pihak berkuasa memaklumkan kemungkinan pertindihan dengan rangkaian dadah antarabangsa boleh meluaskan siasatan ke dalam industri hiburan.

Park Wang Yeol telah dibawa pulang ke Korea Selatan melalui kerjasama antara Kementerian Luar Negeri dan agensi kerajaan lain.

Menurut Yu, Agensi Polis Wilayah Utara Gyeonggi telah dilantik sebagai unit utama siasatan, dengan 39 anggota khas serta lima agensi berkaitan menjalankan siasatan intensif berskala penuh.

“Kami akan menyiasat sepenuhnya semua aktiviti jenayah yang masih berbaki dan menjejaki keuntungan haram hingga ke penghujung,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat tokoh berpengaruh dalam bidang politik atau hiburan yang terlibat, Yu dilihat enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.

Polis juga memaklumkan mereka akan memperluaskan kerjasama antarabangsa bagi menangani jenayah dadah rentas sempadan.

“Kebanyakan dadah yang memasuki negara kami adalah diimport, bukan dihasilkan dalam negara. Kami telah menjalin kerjasama rapat dengan agensi tempatan seperti Kastam dan Pejabat Pendakwa Raya, serta badan antarabangsa termasuk United Nations Office on Drugs and Crime, Drug Enforcement Administration dan Interpol,” ujarnya.

Yu turut menambah yang operasi global akan datang pada bulan Jun, iaitu fasa ketiga inisiatif Breaking Chains, akan memperluaskan fokus terhadap jenayah berkaitan dadah dan memperkukuh kerjasama antara negara yang terlibat.

Related Articles

Back to top button