Jaga Kesihatan, Shaheizy Sam Makan Sehari Sekali Sahaja

PELAKON, Shaheizy Sam, 43, menjadikan gaya pemakanan baginda Rasulullah SAW sebagai inspirasi dalam menjaga kesihatan.

Menurut pemilik nama sebenar Shaheizy Sam Abdul Samad, kuantiti makanan yang diambil bukan penentu tahap kesihatan seseorang, namun jumlah nutrisi adalah lebih penting.

“Kita tak perlu pun makan sampai tiga atau empat kali sehari. Saya ambil contoh seperti Rasulullah, baginda kadang-kadang hanya makan kurma sahaja tetapi boleh sihat, malah pergi berperang dan menang.

“Jadinya, kenapa kena makan dalam kuantiti yang banyak? Makan banyak belum tentu buat kita kuat atau sihat. Bukan kuantiti yang penting, yang utama sebenarnya adalah nutrisi dalam makanan tersebut.

“Pernah tak dengar atau nampak saya jatuh sakit? Bukan nak riyak tetapi alhamdulillah kesihatan Allah yang bagi. Saya bersyukur badan saya boleh adaptasi dengan pengambilan makanan sehari sekali,” katanya.

Sudah sedekad mengamalkan diet ‘one meal a day’, suami kepada aktres, Syatilla Melvin itu berkata, dia hanya akan makan ketika benar-benar sedang kelaparan.

“Sedar tak sedar rupanya saya dah amalkan diet selama 10 tahun, cara diet saya ada ‘one meal a day’ yang mana cara itu juga untuk turunkan berat badan saya. Saya hanya akan makan apabila perut betul-betul rasa lapar.

“Saya juga selalu kongsikan cara diet saya dengan pengikut di TikTok. Saya turunkan berat badan bukan dengan cara bersenam, tetapi melalui penjagaan makanan. Cara itu tidak semua orang mampu lakukan.

“Saya akan lebihkan makanan yang berprotein dan sayur, makanan jenis karbohidrat saya akan kurangkan,” ujarnya lagi.

Related post

Leave a Reply