Berita

Seimbang Dunia Akhirat, Fizz Fairuz Teringin Hantar Anak ke Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang

“Kalau ada rezeki memang saya teringin untuk menghantar anak ke sana. Bila melihatkan pencapaian sebahagian besar daripada mereka saya sebak,” ungkap Datuk Fizz Fairuz.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pencapaian Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60 bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan 25 calon memperoleh keputusan semua A.

Jelasnya, apa yang telah dibuktikan oleh mereka begitu besar maknanya kepada semua pihak memandangkan MTTNP yang merupakan institusi di bawah Yayasan Pahang baru sahaja membuka pusat peperiksaan tahun lalu.

Kesemua calon layak memiliki sijil manakala 25 daripada 48 calon memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

“Sebagai salah seorang rakyat Pahang, saya berbangga dengan keputusan yang diperoleh oleh kesemua pelajar yang menduduki SPM tahu lalu.

“Apabila mereka meletakkan Al-Quran di dalam dada, mereka bukan sahaja meletakkan agama di hadapan tetapi ilmu akademik juga ikut cemerlang bersama.

“Ini membuktikan sesiapa sahaja boleh boleh berjaya selagi meletakkan Al-Quran sebagai pedoman. Saya terharu dan berharap pelajar tahun ini akan meneruskan kecemerlangan dalam SPM,” tambahnya lagi.

Pencapaian Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang begitu membanggakan.

MTTNP tidak hanya menekankan kepada hafazan 30 juzuk Al-Quran semata-mata sebaliknya setiap pelajar turut aktif dalam bidang kokurikulum seperti mana yang digariskan.

Mereka turut diberikan penekanan tentang modal insan bagi menyeimbangkan antara dunia dan akhirat seperti mana yang diharapkan sebahagian besar ibu bapa.

“Inilah generasi yang akan menjadi penyambung kepimpinan negara. Insya-Allah sekiranya ada rezeki saya sendiri mahu menghantar anak ke sana.

“Semoga mereka dapat mengikut jejak langkah yang telah dilakar oleh pelajar cemerlang hari ini,” kata suami kepada pelakon Almy Nadia ini lagi.

Sebagai rekod, pasangan ini dikurniakan lima cahaya mata.

Related Articles

Back to top button