“Saya Tergilakan Awak Setiap Hari”

Pelakon, Mimi Lana, 30, menzahirkan rasa kasih sayang buat suaminya, Syafiq Kyle, sempena ulang tahun kelahiran aktor itu menerusi satu hantaran istimewa di media sosial.
Pemilik nama penuhnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, mengakui sejak kali pertama mereka bertemu, dia sudah merasakan Syafiq akan menjadi seseorang yang penting dalam hidupnya.
“Selamat hari lahir buat sayangku, bintangku, sahabat baikku, suamiku dan tempat selamatku. Terima kasih untuk perjalanan indah ini. Saya sangat mencintai awak.
“Saya sudah nampak awak dalam masa depan saya sejak hari pertama kita bertemu, cuma saya tidak pernah terbayang suatu hari nanti awak akan berdiri di sisi saya sebagai suami,” tulisnya.
Menurut pelakon filem Polong itu, hubungan yang terjalin lebih sedekad menjadikan kasih sayangnya terhadap Syafiq semakin utuh dari hari ke hari.
Katanya, sifat penyayang, baik hati dan sentiasa mengutamakan orang tersayang merupakan antara perkara yang paling dikaguminya pada diri suaminya itu.
“Saya sangat cintakan awak dan masih ‘tergilakan’ awak setiap hari. Kelembutan hati, kebaikan, kesungguhan serta cara awak menjaga orang yang awak sayang sentiasa menjadi inspirasi kepada saya.
“Terima kasih kerana menjadi diri sendiri. Terima kasih kerana mencintai saya seadanya. Terima kasih untuk segala-galanya,” katanya.
Dalam hantaran sama, Mimi turut berjanji akan sentiasa berada di sisi Syafiq tidak kira apa juga cabaran dan fasa kehidupan yang bakal mereka lalui bersama.
“Ketahuilah bahawa ke mana pun kehidupan membawa kita, tidak kira dalam apa jua fasa, saya akan sentiasa menjadi insan yang berdiri di samping awak.
“Kita akan melalui hari-hari yang indah, hari-hari yang sukar dan juga hari-hari yang biasa bersama-sama.
“Saya cintakan awak dan mungkin akan terus ‘mengganggu’ awak dengan kata-kata ini berulang kali supaya awak tidak lupa bahawa awak sentiasa dicintai,” luahnya lagi.
Untuk rekod, Mimi dan Syafiq mendirikan rumah tangga pada Februari 2025 dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di kampung halaman Mimi di Taiping, Perak.



