
“Saya Dipukul Sejak 2016, Anak-Anak Trauma” – Linda Hashim
Pelakon, Linda Hashim, 41, mengakui sudah hilang sabar dengan sikap suaminya, Beego yang didakwa sering membuat hantaran berbaur provokasi di media sosial sehingga akhirnya dia tampil mendedahkan punca sebenar tidak pulang ke rumah selama sembilan bulan seperti didakwa.
Menurut pemilik nama penuh Norhazlinda Hashim, keputusan untuk menjauhkan diri dibuat kerana bimbang menjadi mangsa kekasaran, selain anak-anak turut mengalami trauma akibat konflik rumah tangga mereka.
“Ada empat sebab kenapa saya tidak pulang ke rumah selama sembilan bulan. Pertama, saya dipukul sejak tahun 2016. Kedua, anak-anak enggan pulang kerana trauma.
“Ketiga, kunci rumah dipegang oleh dia (Beego). Keempat, setiap kali saya balik, dia akan mangga pintu dari luar. Saya ada saksi yang tolong potong mangga tersebut.
“Selama ini saya berdiam diri, tapi sekarang saya terpaksa bongkarkan perkara sebenar,” katanya.
Tambahnya lagi, dia juga memiliki laporan polis dan surat perintah larangan mengganggu atau mendekati (OACC), yang menghalang Beego daripada menghampirinya.
“Saya ada laporan polis dan juga laporan perubatan. Walaupun begitu, atas dasar perikemanusiaan, saya masih benarkan dia berjumpa anak-anak,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Linda memberi amaran kepada Beego agar tidak terus melakukan sebarang bentuk provokasi terhadap dirinya dan anak-anak.
“Jangan ganggu kehidupan kami yang kini lebih tenang. Jangan sebar fitnah dan manipulasi.
“Jangan tambah-tambah cerita. Saya langsung tak kacau hidup dia. Baru saya muat naik tentang anak-anak, dia dah kata saya provoke.
“Belum lagi saya dedahkan bukti-bukti dalam telefon saya. Ini amaran saya!” tegasnya.
Linda turut menjelaskan sepanjang mereka tidak lagi tinggal sebumbung, dia tidak pernah sekalipun mengganggu kehidupan Beego.
“Kalau dia nak bekerja atau buat siaran langsung, silakan. Saya tak pernah kacau hidup dia.
“Tapi dia pula yang kacau saya sampai mengganggu mental saya dan anak-anak. Jadi, apa gunanya saya teruskan perkahwinan ini?” ujarnya lagi.
Terdahulu, sesi laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dijadualkan pada Selasa gagal diteruskan apabila Beego tidak hadir ke mahkamah dengan alasan tidak sihat.
Susulan itu, hakim mengarahkan Linda memfailkan pengesahan taklik selepas mendapati elemen tersebut terkandung dalam laporan JKP. Mahkamah menetapkan 22 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.