Sarat Emosi, Raya Dipelukan Mak Buat Ramai Sebak
PENUH emosi dan sarat dengan pengajaran menjadi kekuatan utama filem pendek Raya Dipelukan Mak, karya sulung Ryan Bakery yang dihasilkan khusus sempena kedatangan Aidilfitri kali ini.
Kisah dua beranak yang hidup bersendirian tanpa kehadiran bapa menjadi inti pati penting kepada perjalan watak Aman dan Mak Ani yang pastinya merenggut emosi.
Jelas Ryan idea untuk menghasilkan filem pendek ini sudah ada sejak beberapa tahun yang lalu sementelah dia melihat ramai rakan-rakan terdekat menghasilkan karya pendek raya sebelum ini.
“Selama ini orang hanya nampak kepada sisi lawak saya sahaja. Sudah tiba masanya untuk saya mencari dan meneroka sisi lain dengan terhasilnya Raya Dipelukan Mak.
“Melalui idea yang ada, kita kembangkan lagi jalan cerita agar lebih menarik sehingga naskhah ini disiapkan sepenuhnya,” kata Ryan yang mendapatkan khidmat Marr Mohamad sebagai penulis skrip.
Selain Ryan, pelakon lain yang terlibat dalam Raya Dipelukan Mak terdiri daripada Khatijah Tan, Ellie Suriaty Omar, Fendi London, Uyaina Arshad, Adriana Adnan, Dafi dan To’ Puan Syamim Freida.
Turut serta, Badron Munirah, Farihin, Wanchai, Adam Bakery, Black, Riev Wafa, Rushdan Wafa selain kemunculan istimewa isteri Ryan, Eliya Ibrahim.

Jelas Ryan apa yang cuba disampaikan di dalam filem pendek ini merupakan isu biasa namun sering melanda hubungan sesama ahli keluarga.
“Ada banyak mesej yang saya cuba sampaikan di dalam karya ini. Anak-anak mungkin berhati-hati dalam menjaga hati orang tua tetapi dalam masa yang sama mereka sebenarnya sedang melukakan hati orang tua.
“Kisah sebegini memang banyak terjadi dalam kalangan kita tanpa disedari. Saya harap mesej ini sampai kepada mereka yang menonton seterusnya membawa kebaikan kepada semua,” ungkap Ryan lagi.
Raya Dipelukan Mak mula ditayangkan mulai 27 Mac menerusi salurkan YouTube Ryan Bakery.