Reda Penceraian Orang Tua, Shila Amzah Belum Sedia Jumpa Ibu Tiri

PENYANYI Shila Amzah, 35, memerlukan masa dan ruang untuk menerima kenyataan bahawa ibu tirinya merupakan sahabatnya di bangku sekolah suatu ketika dahulu.

Menurut Shila, dia belum bersedia untuk bersemuka mahupun berhubung dengan wanita terbabit.

Pun begitu, perkara tersebut tidak menjejaskan hubungannya dengan bapa, penyanyi, ND Lala.

“Saya dan dia (ibu tiri) belum pernah berhubung lagi dan saya tidak bersedia lagi. Kalau dengan ayah sudah tentu berhubung. Dia pun selalu hubungi saya.

“Hubungan anak beranak pergi ke mana tak akan putus, kerana tidak melibatkan sesuatu perkara yang teruk hingga membuatkan tidak boleh kembali bersama keluarga.

“Saya dan ayah pun akan berbuka puasa bersama pada hujung minggu ini,” kongsi Shila dalam satu sidang media, baru-baru ini.

Disoal mengenai perceraian ibu bapanya, pelantun lagu Patah Seribu itu menjawab dia sudah reda dengan apa yang telah terjadi.

Namun, berasa gembira melihat ibu bapanya kini hidup bahagia dengan haluan masing-masing.

“Saya sudah reda dengan perceraian mama dan ayah, saya okay sebab cinta itu tidak boleh dipaksa, kalau ibu bapa tidak bahagia kenapa nak paksa demi anak-anak.

“Biarlah masing-masing cari bahagia mereka bagi saya. Cuma pada saya terkejut dengan siapa pilihannya. Itulah suratan dan takdirnya,” tambah ibu kepada dua cahaya mata itu lagi.

Terdahulu, ND Lala dilaporkan sudah berkahwin seorang lagi secara rahsia. Difahamkan isteri keduanya merupakan sahabat Shila di zaman persekolahan.

Susulan konflik melanda, ND Lala kemudian bercerai dengan isteri pertama, Fauziah Sarman pada 2 Ogos 2023 melalui rakaman suara di Whatsapp.

Untuk rekod, ND Lala mendirikan rumah tangga bersama Fauziah pada 1989 dan pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata lain selain Shila iaitu Amir Syafiq, 32, Amir Syahir, 30, dan Nur Syuhada, 27.

Related post

Leave a Reply