
Penyanyi lagu Golden, EJAE, mendedahkan yang dia bakal menamatkan zaman solo tidak lama lagi.
Menerusi laporan media antarabangsa, EJAE mengesahkan yang dia melangsungkan majlis perkahwinan dengan tunangnya, Sam Kim pada November tahun ini.
Laporan tersebut selari dengan foto lamaran romantik bersama tunangnya yang dikongsi EJAE sekitar bulan lalu.
Selain itu, EJAE dikatakan telah bertunang sejak akhir tahun 2023, namun bekas pelatih SM Entertainment itu hanya mendedahkan berita tersebut pada awal tahun ini.
Difahamkan, EJAE masih belum memilih gaun pengantin yang bersesuaian dengan jiwanya.
Dalam masa sama, EJAE turut berkongsi yang dia belum memulakan persediaan perkahwinan dengan lebih terperinci kerana jadual yang padat.
Majlis perkahwinan EJAE dan Sam Kim dijadualkan berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Sebelum ini, lagu nyanyian EJAE berjudul Golden, yang dipetik daripada runut bunyi K-Pop Demon Hunters memenangi anugerah Best Song Written for Visual Media pada Anugerah Grammy ke-68 yang berlangsung pada 1 Februari lalu.
Kejayaan tersebut mencatat sejarah apabila Golden menjadi lagu pertama dalam kategori K-Pop yang memenangi anugerah Grammy.



