Pengunduran Black & Eddie daripada Wings Jadi Tanda Tanya

Pengunduran Black & Eddie daripada Wings Jadi Tanda Tanya

Dua anggota kumpulan legenda Wings iaitu pemain dram, Black dan pemain bass, Eddie mengumumkan pengunduran mereka secara rasmi daripada band rock ikonik itu, malam Rabu.

Pengumuman mengejut itu dibuat melalui satu kenyataan yang diedarkan kepada pihak media.

“Kami, Azmi Hashim atau lebih dikenali sebagai Black dan Samsaidi Long Idris atau Eddie mengambil keputusan untuk berundur daripada kumpulan Wings berkuat kuasa serta-merta pada Rabu, 8 Oktober 2025,” ujar kenyataan tersebut.

Dengan keputusan itu, kedua-duanya mengesahkan tidak akan terlibat dalam Konsert Wings 40 Tahun Celebration yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 28 November dan diikuti persembahan di Singapura pada 24 Disember nanti.

Ini bukan kali pertama Black meninggalkan Wings. Pada tahun 1990 selepas penerbitan album Teori Domino, dia pernah berpisah seketika dengan kumpulan berkenaan sebelum kembali menyertai mereka pada 1995 ketika proses rakaman album Orang Asing.

Sementara itu, Eddie, yang menyertai Wings sejak 1985 kekal setia bersama kumpulan tersebut selama hampir empat dekad, menjadikannya antara tonggak terpenting dalam perjalanan muzik band itu.

Dengan pengunduran dua anggota senior itu, barisan terkini Wings kini hanya terdiri daripada Datuk Awie (vokal utama), Syam (gitar utama) dan Edrie (gitar irama).

Keputusan Black dan Eddie ini pastinya meninggalkan kesan besar dalam industri muzik rock tanah air, khususnya buat peminat tegar Wings yang telah mengikuti perjuangan mereka sejak era 1980-an.

Related post

Leave a Reply