Global

Penampilan Pertama Yoo Ah In Di Acara Filem Selepas Kes Dadah Curi Perhatian

Pelakon Yoo Ah In mencuri perhatian apabila menghadiri tayangan perdana VIP filem Hope, sekali gus menandakan kemunculan awam pertamanya di acara filem utama sejak menghentikan aktiviti seni susulan pertuduhan berkaitan dadah.

Kemunculan itu turut mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan beliau kembali aktif dalam industri hiburan.

Menurut beberapa media hiburan Korea pada 14 Julai, Yoo Ah In menghadiri tayangan VIP filem baharu arahan Na Hong Jin, Hope, yang berlangsung di Megabox COEX, Gangnam, Seoul, sehari sebelumnya.

Turut hadir pada acara itu ialah beberapa selebriti terkenal seperti Lee Jung Jae, Yum Jung Ah, Cha Tae Hyun, Shim Eun Kyung, Park Hae Soo, serta anggota BLACKPINK, Jisoo dan Rosé.

Menerusi video yang tular di media sosial, Yoo Ah In dilihat mengenakan pakaian serba hitam bersama topi besbol biru yang dipakai rendah sehingga menutupi sebahagian wajahnya.

Tidak seperti tetamu lain, beliau tidak berhenti di ruang bergambar yang disediakan untuk media, sebaliknya terus memasuki dewan tayangan sambil membawa sebuah tumbler.

Ketika berjalan menuju ke dalam dewan, Yoo Ah In dilihat terserempak dengan seorang kenalan sebelum tersenyum lebar dan memeluk individu tersebut.

Rakaman video itu turut memaparkan dia berkata: “Lama tak jumpa,” sebelum kedua-duanya berpelukan.

Video berkenaan kemudiannya tersebar luas di media sosial dan komuniti dalam talian.

Terdapat juga laporan yang mendakwa Yoo Ah In dilihat bersama pengarah Jang Jae Hyun, yang sebelum ini mengarahkan filem pecah panggung Exhuma.

Perkara itu menarik perhatian ramai kerana Yoo Ah In dikatakan antara calon yang sedang dipertimbangkan untuk membintangi filem baharu arahan Jang berjudul Vampire.

Menurut laporan, Vampire ialah filem pontianak Korea yang diinspirasikan daripada novel klasik Dracula karya Bram Stoker.

Projek tersebut sudah pun menjadi perhatian kerana merupakan karya susulan Jang selepas kejayaan Exhuma, yang berjaya menarik lebih 10 juta penonton.

Bagaimanapun, penglibatan Yoo Ah In dalam filem itu masih belum disahkan.

Yoo Ah In sebelum ini didakwa atas pertuduhan menggunakan berulang kali beberapa jenis narkotik perubatan, termasuk propofol, selain memperoleh pil tidur secara haram menggunakan identiti individu lain.

Sumber: Allkpop

Related Articles

Back to top button