Pemandu Teksi Haram Didenda RM5,000 Selepas ‘Culik’, Pukul Pelancong China di KLIA2

Pemandu Teksi Haram Didenda RM5,000 Selepas ‘Culik’, Pukul Pelancong China di KLIA2

Bulan lalu, seorang wanita yang mengendalikan perkhidmatan teksi haram bersama suaminya tular selepas dua pelancong dari China mendakwa mereka telah ‘diculik’ dan dipukul oleh pasangan tersebut.

Wanita berkenaan kemudiannya ditahan selepas kejadian itu mendapat perhatian pihak berkuasa. Semalam, wanita itu dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menawarkan perkhidmatan pengangkutan berbayar menggunakan kenderaan persendirian.

Menurut kertas pertuduhan, K. Kalaivanie didakwa melakukan kesalahan tersebut di kawasan concourse Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 2 KLIA2 pada jam 12.50 pagi, 22 September lalu.

Dia ditahan dalam satu operasi khas ‘ulat’ (touting haram) yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Balai Ketibaan KLIA2 ketika sedang mendekati seorang penumpang dari Filipina.

Kalaivanie didakwa di bawah Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, lapor Harian Metro. Dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Ketika prosiding, Pegawai Pendakwa JPJ Bohkhari Mat Yusoff memohon agar mahkamah mengenakan denda lebih berat memandangkan tertuduh tidak menunjukkan rasa insaf, malah pernah didakwa atas kesalahan sama pada 26 September 2023 dan dikenakan denda RM4,000.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kalaivanie tidak mendaftarkan lesen kenderaan motornya (LKM) di bawah kategori kenderaan perkhidmatan awam, mengelak pemeriksaan Puspakom, serta gagal menyediakan perlindungan insurans kepada penumpang.

Kalaivanie bagaimanapun merayu agar dikenakan denda lebih rendah dengan alasan dia merupakan ibu tunggal yang menanggung dua orang anak serta ibunya yang uzur dan menjalani rawatan dialisis.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar, dan denda tersebut telah dijelaskan oleh tertuduh.

Kejadian itu berpunca daripada persetujuan antara Kalaivanie dan pelancong terbabit, di mana dia dan suaminya pada mulanya menawarkan tambang RM60 untuk menghantar mereka ke hotel.

Namun, sebaik tiba di destinasi, jumlah tambang berubah mendadak kepada RM836. Apabila pelancong berkenaan membantah, mereka didakwa dikunci di dalam kereta sehingga bersetuju untuk membayar.

Salah seorang daripada mereka turut mendakwa ditampar sebanyak tiga kali oleh Kalaivanie.

Related post

Leave a Reply