Berita

Pekerja Hotel Dipenjara, Disebat Selepas Mengaku Salah Cabul Remaja Perempuan 16 Tahun

Seorang pekerja hotel di Kelantan mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah hotel di Tanah Merah bulan lalu.

Tertuduh yang identitinya tidak didedahkan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Khamis.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut antara jam 3 pagi hingga 11 pagi di sebuah bilik hotel pada 24 Julai.

Mengikut fakta kes, tertuduh menjemput mangsa dari rumah bapanya di Kuala Krai dengan alasan mahu menguruskan pertukaran sekolah mangsa ke Besut, Terengganu.

Namun, tertuduh didakwa membawa remaja itu ke hotel tempat dia bekerja sebelum melakukan perbuatan seksual terhadap mangsa ketika mangsa sedang tidur.

Semasa kejadian, tertuduh juga didakwa mengucapkan kata-kata seperti, “Adik comel, papa sayang adik, adik kecil macam baby.”

Selepas kejadian, mangsa melarikan diri dari hotel sebelum ditemui orang awam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Polis kemudian menghubungi ibu mangsa yang berada di Besut dan memintanya hadir ke balai polis sebelum satu laporan dibuat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nai’lah Harizan, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran, sambil menegaskan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

Aisyha berkata, tertuduh telah memperoleh kepercayaan penjaga mangsa dengan alasan mahu membantu menguruskan urusan persekolahan sebelum mengambil kesempatan terhadap mangsa.

Tertuduh pula merayu hukuman diringankan dengan alasan dia merupakan anak sulung daripada lima beradik dan perlu menyara keluarganya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun serta dua sebatan terhadap tertuduh.

Selain itu, dia turut diperintahkan menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Related Articles

Back to top button