Pasang Surut Rumah Tangga, Kaka Azraff Mahu Elak Fitnah

SELEPAS kembali rujuk dengan suami, penyanyi, Kaka Azraff, 36, mengakui lebih matang dalam mengurus rumah tangga dan enggan terlalu berkongsi kebahagiaan dalam media sosial.

Bersyukur hubungan dengan suami, Adam Azriff dalam keadaan bahagia, pemilik nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff, berkata, dia tidak mahu mengingat kembali fasa kritikal yang ditempuhi sebelum ini.

“Ini tentang rumah tangga saya, tiada apa yang perlu saya dedahkan atau tutup. Banyak hati dan perasaan yang perlu saya jaga, justeru saya memilih pendekatan untuk tidak banyak berkongsi kebahagiaan dalam media sosial.

“Tindakan saya juga secara tidak langsung mengurangkan daripada orang luar bercakap yang tidak betul dan mendatangkan fitnah.

“Apa yang orang dengar tentang kami mungkin ada perkara yang tidak sahih. Saya pun tak boleh nak mengiyakan atau menidakkan, yang penting sekarang ini kami sudah berbaik dan berkasih sayang,” kongsinya dalam sebuah majlis, baru-baru ini.

Mengakui ada pasang surut dalam perkahwinan, Kaka menganggap setiap ujian yang melanda merupakan peluang untuk dia dan suami memperbaiki diri ke arah kebaikan.

“Saya dan suami baik-baik sahaja dan kami tinggal sebumbung. Setiap rumah tangga ada pasang surut, sama juga seperti saya yang baru memasuki tahun ketujuh perkahwinan.

“Apabila ujian datang, kita hanya manusia biasa jadi perlu memperbaiki diri dan kedua-duanya berusaha untuk mempertahankan perkahwinan.

“Sebenarnya dalam sebuah perkahwinan, dua hati nak menjadi satu bukanlah satu perkara yang senang. Jadi kena sentiasa bersabar dan bersama.

“Saya anggap itu adalah ujian buat saya diusia ini. Tetapi itu telah mematangkan dan mendewasakan saya selain membuatkan saya lebih berhati-hati untuk bertindak,” jelasnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan pasangan itu sah bercerai talak satu dan pengesahan lafaz cerai itu difahamkan dilakukan secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 28 Oktober lalu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Disember 2018 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 6, dan Aryan, 4, dan Atta Adam, 2.

Related post

Leave a Reply