TrendingViral

Mimi Lana Mengaku Khilaf Terlepas Pandang Bayaran Jurusolek RM250

Pelakon, Mimi Lana, 31, tampil memohon maaf secara terbuka kepada seorang jurusolek dikenali sebagai Aizat Abdul Razak selepas terlepas pandang bayaran khidmat mekap yang didakwa tertunggak sejak 2019.

Pemilik nama sebenar Mimi Roziana Zainal Abidin membalas satu kenyataan dimuat naik Aizat yang dipercayai ditujukan kepadanya.

Aizat mendedahkan terdapat seorang selebriti yang masih berhutang bayaran mekap berjumlah RM250, sekali gus meluahkan rasa kecewa kerana perkara tersebut berlarutan selama beberapa tahun.

“Nampak komen seorang artis ni pada hantaran seseorang komen ‘boleh la mekap saya pula’. Dan dia hutang aku duit mekap. Dulu aku bagi harga RM250 untuk artis.

“Lepas tu sampai ke sudah buat lupa. Nak saja balas komen dia tu, ‘bayar hutang saya boleh tak?’ Dah banyak kali bagi peringatan,” tulis Aizat.

Kenyataan tersebut menarik perhatian Mimi yang kemudiannya tampil memberikan penjelasan serta permohonan maaf secara terbuka.

“Salam Aizat. Saya nampak Threads awak dan saya tahu awak bercakap tentang saya sebab saya yang komen pada orang tu macam tu. Dan saya masih ingat awak mekap saya beberapa kali dulu.

“Maafkan saya, tadi saya periksa mesej awak dan memang ada satu mesej peringatan daripada awak untuk bayaran sejak 2019. Saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki kerana terlepas pandang perkara ini.

“Tetapi terima kasih atas peringatan ini. Kalau tidak, saya sendiri pun sudah tidak ingat,” tulisnya.

Tambah Mimi, dia setakat ini tidak pernah berniat untuk culas membayar mana-mana jurusolek dan mengakui kemungkinan berlaku kecuaian dari segi pengurusan.

“Kalau ada, tolong hubungi pembantu peribadi saya. Kadang-kadang ada perkara yang saya terlepas pandang kerana kebiasaannya urusan pembayaran diuruskan oleh pembantu peribadi atau pengurus.

“Walaupun jumlahnya kecil bagi kami, tetapi besar nilainya untuk individu yang sudah menjalankan kerja. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Maaf sekali lagi dan mohon hubungi pembantu peribadi saya,” jelas Mimi lagi.

Related Articles

Back to top button