Lotong ‘Ceroboh’ Rumah, Siap Cabut Cermin, Buat Sepah!
Siapa sangka, tarikh 1 Syawal yang sepatutnya menjadi hari untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bertukar kacau bilau apabila seekor lotong menceroboh masuk ke dalam kediaman sebuah keluarga di Bukit Katil, Melaka.
Mangsa, Auni Athirah Ahmad Khir Saifuddin berkata, kejadian berlaku selepas pintu kediaman keluarganya itu terbuka sedikit gara-gara abang iparnya mahu ke kereta untuk mengambil barang.
“Bila dia masuk rumah, tiba-tiba nampak ada lotong muncul dan terus menuju ke arah sebuah cermin almari.
“Ketika itu pula saya dan kakak di dapur, kami ada dengar bunyi bising-bising dekat depan… ingatkan pencuri yang masuk, rupanya lotong!
“Untuk pengetahuan, sebenarnya cermin tu melekat dengan almari, tak sangka lotong itu kuat cabutkan cermin itu dan memang cermin besar lebih kurang lotong, sebab itu senang bawa lari,” katanya.
Athirah memberitahu, haiwan tersebut tidak membuat kacau terhadap bahagian makanan atau barangan lain. Tetapi, lotong tersebut seperti terkesima dengan cermin yang terlekat pada almari berkenaan.
“Bayangkan, masuk rumah terus nampak cermin itu. Bila ditariknya cermin, memang ada barang pecah, seperti lampu tidur.
“Dan saya ada juga baca komen TikTok, ramai yang cakap rupanya lotong memang minatkan cermin. Saya tak pasti tapi itu yang ramai komen mengenainya, mungkin itu salah satu faktor lotong nak ambil cermin itu.
“Tetapi, yang lawaknya, bila lotong itu nak lari, tetapi tersekat…cermin tersangkut di pintu, terus abang saya sergah, ambil semula cermin dan cepat-cepat tutup pintu…lotong itu hanya mampu tengok dari luar sahaja,” ujar Athirah berseloroh.
Athirah menambah, ibu bapanya sering memberi makanan kepada kera di belakang rumah menyebabkan haiwan liar sering mendekati kawasan itu.
Sumber: Sinar Harian