
Dengan populariti global yang luar biasa, Lisa Blackpink mencetuskan fenomena apabila berjaya menarik kehadiran ramai pelancong untuk mengunjungi beberapa destinasi popular di Thailand.
Dia yang dilantik sebagai sebagai duta pelancongan Thailand menerusi kempen Amazing Thailand x Lisa, telah mempromosikan keindahan Laut Teratai Merah di Tasik Nong Han, Udon Thani.
Kempen itu mencetuskan fenomena ‘kesan Lisa’ apabila pelancong tempatan dan antarabangsa berpusu-pusu mengunjungi lokasi tersebut untuk mengikuti jejak Lisa.
Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) menganggarkan sehingga 120,000 pengunjung hadir dari November 2025 hingga Februari 2026.
Menurut statistik, seramai 50,306 pengunjung direkodkan antara 1 Disember 2025 hingga 25 Januari 2026, terdiri daripada 51.73 peratus pelancong tempatan dan 48.27 peratus pelancong asing dari beberapa negara termasuk China, Laos, Jerman dan Jepun.
Pegawai TAT, Thapanee Kiatphaibool, berkata fenomena itu bukan sahaja meningkatkan minat pelancong asing, malah memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan serta mengukuhkan kedudukan Udon Thani sebagai destinasi pelancongan berkualiti.
Salah satu trend popular dalam kalangan pelancong ialah bergambar menaiki bot seperti yang dilakukan Lisa.
Dalam tempoh dua hari pada akhir Januari lalu, perkhidmatan bot di Laut Teratai Merah menjana pendapatan sebanyak 405,600 Baht, mencerminkan impak besar kempen tersebut terhadap sektor pelancongan setempat.



